MAG lantik Bryan Foong sebagai CEO Perniagaan Penerbangan, Low Wen Long Ketua Strategi Kumpulan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG lantik Bryan Foong sebagai CEO Perniagaan Penerbangan, Low Wen Long Ketua Strategi Kumpulan

Bryan Foong Chee Yeong (kanan) dan Low Wen Long (kiri)
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 JanMalaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan kepimpinan baharu peringkat kanan berkuat kuasa 1 Februari 2026, selari Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP 3.0) kumpulan itu.


Bryan Foong Chee Yeong dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perniagaan Penerbangan, manakala Low Wen Long pula akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan tersebut.


"Kedua-dua individu berkenaan akan melapor terus kepada Presiden dan CEO Kumpulan MAG yang baharu, Kapten Nasaruddin A Bakar," jelas kumpulan penerbangan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.


Sebagai CEO Perniagaan Penerbangan, Bryan bertanggungjawab menerajui hala tuju strategik serta prestasi portfolio syarikat penerbangan MAG, termasuk Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.


Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan dan memainkan peranan penting dalam penstrukturan kewangan MAG ketika wabak COVID-19 sehingga kembali mencatat keuntungan.


Sementara itu, Wen Long akan mengetuai perancangan serta pelaksanaan strategi merentas keseluruhan perniagaan kumpulan bagi menyokong pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang.


Sejak menyertai MAG pada 2018, beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan LTBP 2.0 dan LTBP 3.0, termasuk perancangan armada, pengoptimuman rangkaian dan inisiatif strategik utama.


"MAG kini memasuki fasa transformasi seterusnya daripada penstabilan kepada pertumbuhan berskala dan berdisiplin, dengan fokus membina kumpulan penerbangan yang lebih mampan," jelas Nasaruddin.


Perkembangan tersebut kata beliau menerusi kenyataan itu, hala tuju baharu syarikat berkenaan termasuk dari segi kewangan serta kekal dapat berdaya saing secara positif di peringkat global.


Beliau menambah, kepimpinan baharu itu disokong mantap oleh pasukan pengurusan yang berpengalaman luas dalam industri di samping pelantikan terkini jawatan strategik lain dalam kumpulan itu.


Ini tambah Nasaruddin, termasuk CEO Perkhidmatan Penerbangan, Mohd Nadziruddin Mohd Basri, serta CEO Kesetiaan dan Perkhidmatan Pelancongan, Philip See yang akan memantapkan kumpulan berkenaan. 


Menerusi penstrukturan kepimpinan ini, MAG berada di kedudukan kukuh pelan pertumbuhan strategik serta terus meningkatkan nilai kepada pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan. - DagangNews.com