KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pengurus dana global, Macquarie Asset Management, menyatakan minat untuk melabur dalam pelbagai sektor di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, Macquarie yang merupakan antara pelabur terkemuka dunia melihat potensi besar dalam bidang infrastruktur serta tenaga boleh diperbaharui (RE), selaras dengan kerangka Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Minat mereka membuktikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan hijau.
“Komitmen ini turut memperkukuh usaha kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau yang mampan serta berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X.
Tengku Zafrul berkata, beliau turut mengadakan perbincangan produktif bersama pihak Macquarie mengenai perkara itu.
“Saya yakin kerjasama sebegini akan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau turut mengadakan pertemuan dengan pengurus dana global utama termasuk GIC, UBS dan Manulife IM sempena Persidangan Invest Malaysia yang dianjurkan Bursa Malaysia dan Macquarie di Singapura.
Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelaburan neutral dan berdaya tahan di ASEAN.
“Antara perkara utama yang diketengahkan ialah perkembangan positif NIMP2030 serta Strategi Semikonduktor Negara (NSS).
“Kami juga berkongsi kemas kini mengenai aliran masuk pelaburan, termasuk RM63 bilion yang berjaya diperoleh dalam pelaburan semikonduktor. Komitmen ini jelas membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar-dasar jelas kerajaan, yang seterusnya memastikan kestabilan kepada pelabur,” katanya. - DagangNews.com








