Lynas bina fasiliti pemisahan nadir bumi berat baharu di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lynas bina fasiliti pemisahan nadir bumi berat baharu di Malaysia

Gambar/ Laporan Tahunan Lynas
Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 29 Okt – Lynas Rare Earths Ltd akan membina fasiliti pemisahan Unsur Nadir Bumi Berat (Heavy Rare Earths, HRE) baharu di Lynas Malaysia bagi memenuhi permintaan global terhadap sumber HRE yang boleh dipercayai di luar China.

 

Dalam kenyataan hari ini syarikat itu berkata, fasiliti baharu itu dijangka mempunyai kapasiti pemprosesan sehingga 5,000 tan setahun bahan suapan HRE dan akan memperkukuh keupayaan Lynas sebagai satu-satunya syarikat di luar China yang mampu menghasilkan oksida HRE dalam jumlah komersial.

 

Bahan suapan bagi fasiliti ini akan diperoleh daripada lombong nadir bumi berkualiti tinggi Lynas di Mt Weld, Australia yang mengandungi kedua-dua jenis unsur nadir bumi ringan (Light Rare Earths, LRE) dan berat (HRE).

 

 

 

 

 

 

Lynas juga akan meneroka sumber lain termasuk deposit tanah liat ionik di Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya.

 

Menurut kenyataan itu, ketika ini, Lynas Malaysia menghasilkan oksida Dysprosium (Dy) dan Terbium (Tb) yang dipisahkan sepenuhnya. 

 

"Pembinaan fasiliti baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran HRE serta menawarkan pelanggan rangkaian produk nadir bumi yang lebih meluas, sejajar dengan keperluan industri berteknologi tinggi dan tenaga hijau," kata syarikat itu.

 

Menurut syarikat itu, projek berkenaan akan menggunakan kepakaran dan kemudahan sedia ada Lynas dengan anggaran kos sekitar A$180 juta (kira-kira RM500 juta). Ia akan dibiayai sepenuhnya daripada hasil terbitan ekuiti yang berjaya diselesaikan pada September 2025.

 

Tempoh pembinaan fasiliti berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. Lynas kini sedang berunding dengan beberapa pelanggan antarabangsa bagi memeterai perjanjian pembelian jangka panjang (offtake agreement) pada harga pasaran yang munasabah.

 

Pembinaan akan dilaksanakan secara berfasa dengan produk utama diberi keutamaan. Pengeluaran pertama Samarium (Sm) daripada bahan suapan Mt Weld dijangka bermula pada April 2026. 

 

Kapasiti pemprosesan akan ditambah secara berperingkat dengan pengeluaran awal merangkumi Samarium (Sm), Gadolinium (Gd), Dysprosium (Dy), Terbium (Tb), Yttrium (Y) dan Lutetium (Lu) dalam tempoh dua tahun.

 

Pelaburan tambahan bagi menghasilkan unsur nadir bumi lain seperti Europium (Eu), Holmium (Ho), Ytterbium (Yb) dan Erbium (Er) akan dipertimbangkan berdasarkan potensi pulangan komersial yang munasabah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze berkata, pembinaan fasiliti baharu itu merupakan langkah strategik dalam pelan pertumbuhan syarikat menuju 2030 dan sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Lynas dalam rantaian bekalan global.

 

“Permintaan pasaran bagi HRE kekal tinggi dan Lynas kini mempunyai keupayaan untuk memilih kepada siapa dan pada harga berapa produk ini dijual. 

 

"Kami telah memeterai kontrak bagi pengeluaran semasa Dysprosium dan Terbium pada terma yang menguntungkan, mencerminkan nilai strategik serta ketersediaan segera bahan-bahan ini," katanya.

 

Beliau menambah, perjanjian jual beli bagi pengeluaran HRE baharu akan dirundingkan berdasarkan harga lantai, dengan keutamaan diberikan kepada pelanggan yang Lynas bekalkan sepenuhnya. 

 

"Kami juga akan memberi tumpuan kepada pasaran bernilai tinggi seperti industri elektronik,” katanya lagi.

 

Menurut Lacaze, Lynas kini menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan luar China yang berfungsi dan boleh dipercayai, malah merupakan satu-satunya pengeluar di luar China yang mampu membekalkan kedua-dua produk LRE dan HRE.

 

 

 

 

 

 

“Pada tahun 2025, kami telah membuktikan keupayaan memisahkan dua unsur nadir bumi berat yang paling tinggi permintaan — Dysprosium dan Terbium — di samping mengekalkan pengeluaran LRE berskala besar. 

 

"Rancangan kami untuk memulakan pengeluaran Samarium menjelang April 2026 membuktikan keupayaan Lynas untuk bergerak pantas dan memenuhi keperluan pelanggan secara berkesan,” tambahnya. - DagangNews.com