KUALA LUMPUR 23 Jan – Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) merancang untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi menjalin kerjasama dengan Besteel Engtech Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Naib Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Lim Keng Guan.
Kerjasama ini bertujuan merealisasikan projek pembangunan semula Morib yang melibatkan naik taraf Sri Morib Golf Club.
Selain itu, LSH Capital juga akan menyuntik pelaburan sebanyak RM484.8 juta bagi pembangunan tanah seluas kira-kira 150 ekar yang terletak berhampiran.
Pembangunan tersebut merangkumi komponen kediaman dan komersial sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan menyeluruh kawasan Morib.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu mengesahkan jumlah kos keseluruhan projek dianggarkan sebanyak RM692.6 juta.
LSH berkata, unit milik penuhnya, LSH Best Builders Sdn Bhd, bersama anak syarikat milik penuh LSH Morib Golf and Country Club Sdn Bhd (LSH Morib GCC) dan LSH Morib Development Sdn Bhd telah memeterai perjanjian langganan saham bersyarat dengan Besteel bagi membolehkan Besteel mengambil 30% kepentingan dalam syarikat tujuan khas (SPV).
LSH turut mencadangkan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada SPV berkenaan.
Kedua-dua cadangan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Menurut kumpulan itu, pembiayaan bahagian kos peremajaan dan pembangunan sebanyak RM484.8 juta akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Di bawah pelan yang dicadangkan, LSH Morib GCC akan menanggung semua kos bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan operasi Sri Morib Golf & Country Club seluas 139 ekar dengan lapan lubang, serta mengekalkan keseluruhan hasil daripada operasinya.
Sebuah rumah kelab baharu dan hotel juga akan dibangunkan di atas lima ekar tanah tepi pantai di bawah pajakan 30 tahun, dengan opsyen pembaharuan selama 30 tahun lagi.
LSH akan membayar kepada pemilik tanah iaitu Seriemas Resort Sdn Bhd (SRSB), Seriemas Development Sdn Bhd (SDSB) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) satu peratusan hasil daripada operasi hotel dan perkhidmatan berkaitan, manakala pendapatan lain daripada hartanah akan dikekalkan oleh kumpulan.
LSH Morib GCC juga akan mengurus dan mengendalikan padang golf tersebut di bawah pajakan 60 tahun (20 tahun awal dengan dua pembaharuan automatik masing-masing 20 tahun), serta membayar yuran pajakan kepada pemilik tanah berdasarkan terma yang akan dipersetujui.
Sementara itu, LSH Morib Development akan menerajui projek pembangunan Morib, iaitu pembangunan bercampur kediaman dan komersial yang dianggarkan bernilai RM850 juta dalam tempoh 10 tahun.
LSH akan membayar kepada SRSB, SDSB dan PNSB sebahagian daripada nilai pembangunan kasar, sambil mengekalkan semua hasil jualan dan menanggung keseluruhan perbelanjaan.
LSH Morib Development turut memperoleh hak keutamaan pertama selama 12 tahun untuk membangunkan tambahan 303 ekar tanah, sekali gus memberi peluang kepada kumpulan untuk mengembangkan skala pembangunan dan meraih manfaat daripada projek masa hadapan.
Menurut LSH, projek Morib ini dijangka menjana aliran pendapatan jangka panjang dan peluang pertumbuhan menerusi pendapatan berulang daripada operasi golf, penginapan hotel dan perkhidmatan berkaitan, selain jualan kediaman dan komersial di atas 150 ekar tanah, dengan potensi hasil yang signifikan walaupun selepas perkongsian keuntungan.
Kumpulan itu juga akan memperoleh bank tanah seluas 450 ekar bagi pembangunan masa hadapan, yang memberikan fleksibiliti dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.
Setakat 30 September 2025, LSH mempunyai tunai dan baki bank berjumlah RM35.35 juta serta pinjaman berjangka sebanyak RM8.73 juta. - DagangNews.com








