KUALA LUMPUR 16 Julai – Kerajaan Kelantan mengarahkan siasatan menyeluruh bagi memburu dalang di sebalik kegiatan perlombongan emas haram di Gua Musang selepas pihak berkuasa merampas aset bernilai RM4.2 juta dalam operasi penguatkuasaan di kawasan Galas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata tindakan kerajaan negeri bukan sekadar menumpukan kepada tiga warga China yang ditahan, sebaliknya turut menyasarkan pihak yang dipercayai menjadi penggerak utama, termasuk mereka yang membiayai dan mengurus operasi tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian yang terlibat, termasuk dalang, pembiaya, penganjur, orang tengah, pembekal jentera serta mana-mana pihak yang membantu atau melindungi kegiatan perlombongan haram itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 13 Julai lalu, satu serbuan dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan di Galas, Gua Musang dan menahan tiga warga China kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas haram, manakala pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut turut disita.
Aset yang dirampas terdiri daripada dua jengkaut, dua jentolak, tiga lori, sebuah lori pengangkut muatan, sebuah generator elektrik, peralatan pengasingan mineral serta 20 alat pemisahan mineral yang keseluruhannya bernilai RM4.2 juta.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri memandang serius kegiatan berkenaan kerana perlombongan emas haram bukan sahaja menjejaskan pengurusan sumber mineral negeri, malah berisiko merosakkan alam sekitar serta menyebabkan kerajaan dan rakyat kehilangan hasil yang sepatutnya diperoleh.
Katanya, siasatan akan diperluaskan dengan memberi tumpuan kepada mengenal pasti pihak yang mengawal operasi tersebut, termasuk mereka yang menyediakan dana, menyusun perjalanan aktiviti serta membekalkan kemudahan untuk menjalankan perlombongan.
Beliau berkata, pasukan penyiasat akan menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, mengumpul bukti dan mengambil keterangan saksi sebelum tindakan pendakwaan dimulakan terhadap pihak yang terbukti melanggar Enakmen Mineral Kelantan 2001 serta undang-undang berkaitan.
Kerajaan negeri turut memberi amaran bahawa tiada pihak akan terlepas daripada tindakan sekiranya terbukti terlibat dalam eksploitasi haram sumber mineral negeri, sama ada sebagai pelaksana di lapangan mahupun pihak yang berada di belakang operasi tersebut.
Mohamed Fadzli berkata, operasi perlombongan tanpa lesen atau kelulusan sah perlu dihentikan serta-merta kerana kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kegiatan yang menjejaskan kepentingan negeri dan rakyat.
Dalam usaha membanteras aktiviti itu, kerajaan Kelantan akan memperkukuh operasi penguatkuasaan bersepadu membabitkan PTG Kelantan, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan, polis, Jabatan Perhutanan Kelantan serta agensi berkaitan.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan perlombongan emas haram supaya tampil membantu pihak berkuasa kerana maklumat awam penting dalam mengekang aktiviti yang boleh menjejaskan sumber mineral negeri.
Dengan pendekatan ini, kerajaan negeri mahu memastikan bukan sahaja pelaku di tapak dikenakan tindakan, malah pihak yang menjadi dalang dan mendapat keuntungan daripada kegiatan perlombongan haram turut dibawa ke muka pengadilan. - DagangNews.com








