KUALA LUMPUR 6 Okt – Lion Industries Corporation Bhd merancang menaik taraf kilangnya di Bukit Raja, Klang dengan peralatan dan proses pengeluaran baharu bagi menjadikan kilang berusia 47 tahun itu lebih cekap, kompetitif dari segi kos dan bersesuaian dengan keperluan pasaran semasa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu mereka bersedia menerima rakan strategik baharu yang mampu menyediakan teknologi dan proses baharu kepada kilang berkenaan.
"Bagi kilang di Banting, buat masa ini ditutup sementara berikutan kos operasi yang tinggi, khususnya kesan daripada kenaikan tarif elektrik yang menjadikan operasi di lokasi itu tidak lagi berdaya saing dari segi ekonomi.
"Namun demikian, kami sedang meneroka pelbagai pilihan untuk menghidupkan semula operasi di kilang tersebut termasuk kerjasama strategik bagi memperkenalkan proses dan produk baharu.
"Pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja rakan strategik yang sesuai dikenal pasti," kata syarikat itu.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan akhbar yang menyatakan kedua-dua kilang berkenaan yang di bawah Amsteel Mills Sdn Bhd mungkin ditutup.
Menurut Lion Industries, tajuk artikel "Lion Industries could shut down Amsteel's two mills" yang diterbitkan akhbar mingguan itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemegang taruh, khususnya para pekerja Amsteel Mills.
Katanya, pihak syarikat telah menjawab pertanyaan dengan menjelaskan Amsteel Mills Sdn Bhd masih beroperasi, walaupun industri keluli kini berdepan cabaran besar di peringkat domestik dan global.
"Syarikat kini memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan kecekapan operasi, melaksanakan langkah penjimatan kos yang ketat, serta memperluas rangkaian produk sambil meneroka peluang baharu dan pertumbuhan mampan.
:Kami ingin menegaskan bahawa perniagaan keluli kekal sebagai teras utama bagi Lion Industries Corporation Berhad dan tiada perancangan untuk menutup operasi Amsteel Mills secara kekal melainkan bagi tujuan peningkatan kecekapan dan operasi," katanya. - DagangNews.com








