Lim Kim Heng diumum sebagai Pengarah Urusan Senheng mulai 1 Ogos 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lim Kim Heng diumum sebagai Pengarah Urusan Senheng mulai 1 Ogos 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Julai – Senheng New Retail Bhd melantik Lim Kim Heng, 64, sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

 

Dalam satu makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata lembaga pengarah telah meluluskan pelantikan dan penetapan semula jawatan Lim daripada pengerusi eksekutif bukan bebas kepada pengerusi eksekutif bukan bebas dan pengarah urusan pada 22 Julai.

 

Dalam peranan baharunya yang diperluas sebagai Pengarah Urusan, Lim akan memikul tanggungjawab eksekutif secara langsung terhadap operasi harian dan pelaksanaan strategik dasar serta keputusan Lembaga Pengarah.

 

Di samping itu, beliau juga memikul tanggungjawab sedia ada beliau dalam mengetuai Lembaga dan memastikan tadbir urus yang berkesan.

 

 

senheng

 

 

Langkah ini dijangka dapat melancarkan proses membuat keputusan dan mempertingkat pelaksanaan pelan pertumbuhan syarikat.

 

Peruncit barangan elektronik pengguna dan peralatan rumah itu turut meluluskan penetapan semula jawatan Lim Kim Chieng daripada presiden/pengarah eksekutif bukan bebas kepada pengarah bukan eksekutif bukan bebas, juga berkuat kuasa 1 Ogos. - DagangNews.com