Leong Hup, Malayan Flour Mills, PPB Group, Gold Coin dibenar tangguh keputusan denda MyCC berjumlah RM367 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Leong Hup, Malayan Flour Mills, PPB Group, Gold Coin dibenar tangguh keputusan denda MyCC berjumlah RM367 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Okt – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman empat syarikat pengeluar makanan ternakan tersenarai awam untuk menangguhkan keputusan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenakan denda keseluruhan berjumlah RM367 juta terhadap mereka atas dakwaan penetapan harga makanan ayam 'secara kartel'.

 

Keempat-empat syarikat yang diberi kebenaran semakan kehakiman tersebut ialah Leong Hup International Bhd menerusi anak syarikat milik penuh Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan Malayan Flour Mills Bhd melalui pemilikan sebahagian dalam Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd.

 

Dua lagi syarikat ialah PPB Group Bhd menerusi pegangan 80% dalam FFM Bhd dan Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd di bawah Gold Coin Group.

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh turut mengarahkan MyCC membayar kos sebanyak RM5,000 kepada syarikat-syarikat berkenaan.

 

Keputusan ini menyusul selepas Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menolak permohonan penangguhan denda oleh keempat-empat syarikat tersebut pada Disember 2024.

 

MyCC pada 2022 mendakwa kelima-lima syarikat terbabit berkomplot menubuhkan kartel makanan ayam, dengan menaikkan harga makanan ternakan ayam secara seragam antara RM1 hingga RM4 bagi setiap 50kg dalam tempoh Januari 2020 hingga Jun 2022.

 

Pelanggaran Seksyen 4, Akta Persaingan 2010

Menurut hasil siasatan MyCC, kelima-lima syarikat yang terlibat menguasai kira-kira 40% bahagian pasaran makanan ternakan di Malaysia, dalam kalangan 29 pengeluar aktif.

 

Kandungan utama dalam makanan ayam tersebut ialah jagung dan kacang soya – komponen yang menyumbang kepada 72.8% daripada kos keseluruhan penternakan ayam, menurut MyCC.

 

Pelanggaran ini diklasifikasikan sebagai melanggar Seksyen 4, Akta Persaingan 2010 (Akta 712), yang melarang perjanjian antipersaingan dan amalan bersepakat.

 

Denda asal sebanyak RM415.5 juta telah dikurangkan kepada RM367 juta selepas semakan. Ia merupakan denda tertinggi dalam sejarah 12 tahun MyCC sejak penubuhannya.

 

Syarikat kelima yang turut didenda tetapi tidak menyertai semakan kehakiman ini ialah PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd, anak syarikat kepada gergasi Thai, Charoen Pokphand Group Co Ltd.

 

Leong Hup dan PPB Group sebelum ini secara terbuka menolak dakwaan MyCC ke atas anak syarikat masing-masing, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan menegaskan bahawa mereka tidak melanggar undang-undang persaingan. - DagangNews.com