KUALA LUMPUR 14 Jan — Risiko lebihan bekalan dijangka terus mengehadkan potensi kenaikan harga minyak mentah, mendorong TA Securities mengekalkan saranan 'neutral' sektor minyak dan gas (O&G).
Firma itu berkata, inventori minyak global dijangka meningkat pada 2026 apabila pengeluaran kekal melebihi penggunaan, serta menekan harga Brent dalam persekitaran pasaran yang bergerak mendatar.
Jelasnya, berdasarkan unjuran data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), pengeluaran minyak dunia diramal melebihi permintaan kira-kira 2.25 juta tong sehari sepanjang tahun ini.
"Keadaan ini boleh memberi tekanan kepada kapasiti penyimpanan darat dan meningkatkan penggunaan penyimpanan kos tinggi seperti simpanan terapung," tambah TA Securities dalam notanya hari ini.
Walaupun risiko penurunan harga masih wujud, ia menjangkakan kejatuhan harga secara mendadak adalah tidak berkemungkinan berlaku susulan langkah disiplin bekalan dilaksanakan negara-negara pengeluar.
Usaha itu jelas firma tersebut, diselia oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) di samping aktiviti pengumpulan stok strategik oleh China dijangka membantu bagi menstabilkan pasaran.
TA Securities turut menegaskan perkembangan isu geopolitik melibatkan Venezuela hanya menambah ketidaktentuan jangka pendek dari sudut sentimen, namun kesannya dinilai masih adalah terhad.
"Pengeluaran minyak negara itu kekal rendah akibat sekatan, kekangan infrastruktur serta kekurangan pelaburan, menjadikannya penyumbang marginal kepada bekalan global dalam tempoh terdekat," katanya.
Justeru, ia mengekalkan unjuran purata harga Brent iaitu AS$55 (RM223) setong bagi 2026, dengan lebihan bekalan komoditi itu kekal menjadi faktor penentu utama pasaran minyak antarabangsa.
Tindakan OPEC+ ujar TA Securities, menangguhkan peningkatan pengeluaran dan mengekalkan pemotongan secara sukarela, dijangka tidak memberi impak yang ketara untuk mengimbangi bekalan semasa.
Dalam persekitaran tidak menentu ini, firma penyelidikan berkenaan lebih cenderung kepada peluang khusus saham syarikat tertentu berbanding pendekatan secara menyeluruh ke atas sektor O&G sendiri.
"Coastal Contracts disyorkan sebagai pilihan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.21, disokong oleh faktor keterlihatan hasil kukuh daripada loji serta kontrak sehingga Disember 2027," jelasnya.
Sementara itu, MISC turut dikekalkan pada penarafan 'beli' dan TP RM8.40, didorong aliran tunai yang stabil daripada pajakan jangka panjang serta pendapatan berulang menerusi kontrak. - DagangNews.com








