Lebih RM62 juta pampasan dibayar kepada pemilik rumah Kampung Sungai Baru – PKB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih RM62 juta pampasan dibayar kepada pemilik rumah Kampung Sungai Baru – PKB

Oleh

PUTRAJAYA 12 Sept - Pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur telah membayar pampasan berjumlah RM62.57 juta kepada pemilik dan pemegang kepentingan setakat ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Dr Khairul Nizam Othman berkata jumlah pampasan itu ditentukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (JKPTG) berdasarkan Jadual Pertama Akta Pengambilan Tanah 1960.

 

“Melalui tawaran usaha sama, pemilik flat ditawarkan rumah gantian bernilai antara RM884,000 hingga RM1 juta.

 

“Pemilik rumah teres pula akan memperoleh antara tiga hingga sembilan unit rumah gantian dengan anggaran nilai antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta,” katanya ketika membentangkan taklimat mengenai pembangunan Kampung Sungai Baru di sini pada Jumaat.


 

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

 


Katanya, pembayaran pampasan itu merangkumi nilai hartanah (penilaian), kos penyelenggaraan, pembaikan, perpindahan, sewaan, sewaan sementara, kehilangan pendapatan, kos kehadiran di mahkamah (pendengaran) dan yuran penilaian.

 

Khairul Nizam berkata pemilik flat turut ditawarkan rumah mampu milik berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dibeli pada separuh harga (daripada jumlah pampasan diterima).

 

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan RM250,000 boleh membeli unit tersebut di bawah Pakej Harmoni pada harga RM125,000,” katanya.

 

Beliau berkata tawaran itu dibuat oleh pemaju kepada pemilik/pemohon pada 16 Mei 2022, dengan 11 pemilik flat telah menerima tawaran berkenaan.

 

Setakat ini, katanya, 72% atau 236 daripada 328 pemilik rumah telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula, manakala 28% masih menolak.

 

Menurutnya, baki pemilik yang belum menyatakan persetujuan adalah kerana tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan pemaju.

 

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu dijangka memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan moden, dengan sebahagian pemilik rumah menerima pampasan dianggarkan mencecah jutaan ringgit. - BERNAMA