KUALA LUMPUR 7 Okt - Lebih 31,000 rakyat daripada tiga kelompok masyarakat menjadi penerima baharu skim subsidi bersasar Budi Madani Ron95 (BUDI95) selepas Kerajaan meluaskan kelayakan kepada kumpuan tersebut.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memberitahu tiga kelompok baharu itu membabitkan lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; dan lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Kementerian Kewangan telah mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit, menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi," kata kementerian itu.
MoF kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak.
Pada masa yang sama, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.
Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu. - DagangNews.com








