Lebih 11 juta rakyat telah manfaat skim subsidi Budi95 setakat 13 Oktober - Kementerian Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 11 juta rakyat telah manfaat skim subsidi Budi95 setakat 13 Oktober - Kementerian Ekonomi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Okt - Lebih 11 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripada sistem subsidi bersasar Budi Madani untuk petrol RON95 (BUDI95) apabila menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding harga sebenar RM2.60, menurut Kementerian Ekonomi.

 

Kementerian itu berkata, senarai kelayakan penerima BUDI95 juga dikemas kini secara berkala berdasarkan data terkini bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang layak tercicir daripada program tersebut.

 

“Kerajaan juga peka terhadap penduduk yang tidak memiliki dompet digital (e-wallet) atau yang tinggal di kawasan dengan akses internet yang terhad.

 

“Beberapa kaedah pengesahan kelayakan dan pembayaran telah diperkenalkan di bawah program BUDI95, termasuk pengesahan fizikal melalui terminal MyKad dan pembayaran tunai di kaunter stesen minyak, bagi memastikan keadilan dan keterangkuman wilayah,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

Kementerian itu menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas–Tenom) yang meminta jaminan bahawa penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai asas penentuan subsidi petrol RON95 tidak akan menafikan hak rakyat Sabah memandangkan cabaran jurang digital, liputan internet yang lemah, dan kelewatan dalam kemas kini data.

 

Kementerian Ekonomi turut berkata kerajaan telah mengambil kira keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak yang tidak memiliki lesen memandu tetapi bergantung kepada bot berenjin petrol sebagai pengangkutan harian.

 

Melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, senarai pengguna bot telah dikenal pasti bagi memastikan mereka juga menerima kuota bulanan sebanyak 300 liter di bawah program BUDI95.

 

Sehingga awal Oktober 2025, lebih 23,000 pengguna bot tanpa lesen memandu serta nelayan telah diluluskan sebagai penerima di bawah program ini. - DagangNews.com