Leader Energy, Sarawak Energy bina ladang solar berskala besar 100 MW di Tanjung Manis, Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Leader Energy, Sarawak Energy bina ladang solar berskala besar 100 MW di Tanjung Manis, Sarawak

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd, Datuk Sharbini Suhaili, (kiri) dan Datuk Sean H'ng (kanan) pada majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA) bagi membangunkan ladang solar berskala besar berkapasiti 100 MW di Tanjung Manis, Sarawak.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Okt – Leader Energy Group Berhad melalui anak syarikatnya Leader Energy (Sarawak) Sdn Bhd (LESSB) menandatangani Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA) dengan Sarawak Energy Berhad, menerusi cabang operasi dan runcitnya, Syarikat SESCO Berhad (SESCO) bagi membangunkan ladang solar berskala besar berkapasiti 100 megawatt (MW) di Tanjung Manis, Sarawak.

 

Projek berimpak tinggi ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik tempatan, iaitu Pusaka Capital Sdn Bhd – anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Perindustrian Kayu Sarawak (STIDC) dan Smartgen Energy Sdn Bhd.

 

Projek tenaga bersih ini dilihat sebagai pemangkin pembangunan di Tanjung Manis dan menjadi penanda aras penting dalam usaha Sarawak memacu peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. 

 

Ia turut memperkukuh komitmen Leader Energy terhadap peralihan tenaga bersih di Malaysia.

 

Ladang solar tersebut dijangka siap menjelang 31 Disember 2027, dan selepas beroperasi kelak, akan membekalkan tenaga elektrik bersih dan boleh dipercayai kepada SESCO melalui kontrak PPA selama 30 tahun, selari dengan aspirasi negeri Sarawak untuk membangunkan campuran tenaga mampan dan rendah karbon.

 

Sarawak Energy, selaku pemaju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, komited terhadap pertumbuhan mampan dan kemakmuran negeri dengan menyokong keperluan tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara.

 

Syarikat tersebut menyasarkan untuk menjana 10GW kapasiti tenaga menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035, di mana campuran penjanaannya kini didominasi oleh tenaga hidro boleh diperbaharui, disokong oleh sumber terma tempatan demi menjamin keselamatan dan kepelbagaian bekalan tenaga.

 

Ketika ini, Sarawak Energy giat memperluas jejak tenaga boleh diperbaharui dengan sasaran untuk membangunkan sehingga 1,500MW kapasiti solar menjelang 2030.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Leader Energy, Datuk Sean H’ng berkata, projek ini bukan sekadar kejayaan bagi Leader Energy, malah ia merupakan satu langkah penting bagi Sarawak dalam merealisasikan potensi tenaga solar yang belum diterokai sepenuhnya. 

 

"Kami berbangga menyokong visi Sarawak Energy dalam peralihan tenaga, sambil memperkukuh aspirasi kami sendiri untuk ‘Menjana Semula Masa Depan Di Mana Tenaga Boleh Diperbaharui Mengangkat Kehidupan dan Ekonomi'," katanya. 

 

Tambah beliau lagi, projek ini bukan sekadar membekalkan tenaga boleh diperbaharui tetapi turut melibatkan pemindahan kepakaran serta penciptaan nilai jangka panjang di Sarawak, khususnya di Tanjung Manis.

 

Inisiatif ini turut mencerminkan keutamaan strategik Leader Energy di bawah Vision 2030, termasuk komitmen untuk mencapai sifar bersih pelepasan gas rumah hijau (GHG).

 

Bagi Sarawak, projek ini meneguhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih, selain memperkukuh keupayaan negeri untuk memenuhi permintaan elektrik yang kian meningkat dengan penyelesaian mampan. - DagangNews.com