LBS Bina raih manfaat pasaran hartanah kukuh, sasar RM8 bilion pelancaran baharu - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LBS Bina raih manfaat pasaran hartanah kukuh, sasar RM8 bilion pelancaran baharu - Mercury Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Sept – LBS Bina Group Berhad dijangka menerima manfaat utama daripada pemulihan kukuh pasaran hartanah Malaysia pasca pandemik, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, dasar pembiayaan yang akomodatif serta pelbagai inisiatif kerajaan dalam menyokong pemilikan rumah.

 

Mercury Securities berkata, dengan portfolio pembangunan yang pelbagai dari segi harga dan lokasi, LBS bersedia untuk merebut peluang dalam segmen kediaman mampu milik – sektor yang terus menjadi tumpuan dalam landskap hartanah tempatan.

 

“Kebolehan LBS mencapai kadar pengambilan yang tinggi serta pegangan tanah strategik di koridor pertumbuhan seperti Lembah Klang dan Johor Bahru mengukuhkan lagi potensi syarikat dalam fasa pemulihan ini,” menurut firma pelaburan itu dalam satu nota kajian.

 

Pegangan Tanah Luas dan Strategik

 

Setakat 19 Ogos 2025, LBS memiliki pegangan tanah seluas 3,780 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM34 bilion, memberi jaminan pertumbuhan mampan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.

 

Pegangan ini merangkumi kawasan tumpuan tinggi permintaan seperti Lembah Klang – RM15.2 bilion (748 ekar), Pahang – RM12.9 billion, Johor – RM4.3 bilion (1,138 ekar), Perak – RM0.9 billion, Sabah – RM0.6 billion dan Negeri Sembilan – RM0.2 billion.

 

Menurut Mercury Securities, tahun ini, LBS merancang pelancaran projek baharu bernilai RM2.4 bilion secara purata, sebagai sebahagian daripada keseluruhan sasaran RM8 bilion antara 2025 hingga 2027. 

 

Setakat 28 Ogos 2025, RM704 juta GDV telah pun dilancarkan, dengan baki RM1.57 bilion dijangka menyusul menjelang hujung tahun.

 

Strategi 8 x 8 Kukuhkan Halatuju Jangka Panjang

 

Dalam merangka pelan pertumbuhan strategik, LBS telah memperkenalkan pelan hala tuju “8 x 8 Strategy” bagi tempoh tiga tahun akan datang (2025–2027), dengan tumpuan kepada lapan inisiatif teras untuk menyokong pelancaran baharu bernilai RM8 bilion.

 

Antara fokus utama termasuk peluasan bandaraya satelit dan perbandaran baharu seperti KITA @ Cybersouth, Alam Perdana, Bandar Saujana Putra dan Rimbawan.

 

Pengukuhan dalam segmen perumahan mampu milik seperti siri Idaman, mempelbagaikan aliran pendapatan menerusi ladang solar 43MWp di Senawang yang dijangka siap akhir 2025.

 

Peningkatan aspek ESG termasuk pengalaman pelanggan, pemerkasaan kakitangan dan kesejahteraan komuniti.

 

“Strategi 8 x 8 bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi dan penceritaan jenama LBS, malah ia juga meletakkan syarikat sebagai pemaju volume-driven yang memiliki asas pertumbuhan kukuh serta penarafan ESG yang semakin kompetitif,” jelas laporan itu.

 

Sehubungan itu Mercury Securities melatakkan saranan “BELI” dengan harga sasaran ditetapkan pada RM0.64 sesaham, berasaskan diskaun sebanyak 75% kepada nilai aset bersih disemak semula (RNAV) yang dianggarkan pada RM2.54 sesaham.

 

"Diskaun besar ini mengambil kira ketidaktentuan makroekonomi semasa serta prospek berhati-hati terhadap sektor hartanah dalam jangka pendek. Namun begitu, LBS dilihat berada dalam kedudukan menarik dari sudut penilaian dan pulangan pelaburan," kata laporan itu.

 

Penilaian LBS kekal tidak menuntut (undemanding) berbanding rakan-rakan sektor. Sasaran harga ini menunjukkan unjuran P/E hadapan FY25–FY26 sekitar 5.25x hingga 6.0x, manakala P/B pula pada 0.3x – jauh lebih rendah daripada purata sektor hartanah iaitu 11.3x–12.5x serta pesaing terpilih yang mencecah antara 16.0x hingga 21.4x. 

 

Selain penilaian yang menarik, pelabur juga dijangka mendapat manfaat daripada hasil dividen yang kompetitif, iaitu sekitar 5% hingga 6% bagi tahun kewangan semasa dan akan datang, seterusnya meningkatkan potensi jumlah pulangan keseluruhan.

 

“Gabungan prospek pertumbuhan jangka panjang melalui pelan 8 x 8, pelancaran projek bernilai RM8 bilion, dan pendapatan berulang daripada ladang solar menjadikan LBS sebagai salah satu pemain hartanah yang memiliki asas kukuh dan potensi re-rating,” tambah firma pelaburan itu.

 

Dengan latar belakang pasaran hartanah yang semakin stabil dan permintaan perumahan mampu milik yang kekal kukuh, LBS berada pada kedudukan strategik untuk terus mencatat pertumbuhan yang mampan serta memberikan nilai tambah kepada para pemegang sahamnya dalam jangka panjang. - DagangNews.com