Larian Keluarga Malaysia 2025: Berlari sambil menyumbang pada 15 Nov ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larian Keluarga Malaysia 2025: Berlari sambil menyumbang pada 15 Nov ini

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menyertai Larian Keluarga Malaysia pada tahun lalu. - Gambar FMT
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) sekali lagi menganjurkan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 yang bakal berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 15 November 2025.

 

Acara edisi kedua yang bertemakan ‘Berlari Sambil Menyumbang’ ini menyasarkan penyertaan seramai 3,000
peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

 

Tiga kategori utama ditawarkan:
1. Road Race 10km – RM89 (early bird RM70)
2. Fun Run 5km – RM69 (early bird RM50)
3. Family Run 3km – RM49 (early bird RM40)

 

Tawaran harga early bird dibuka sehingga 31 Ogos 2025. Tiket boleh didapati secara dalam talian di laman rasmi pendaftaran: https://checkpointspot.asia/event/LKM25 atau ikuti saluran media sosial Larian Keluarga Malaysia.

 

Larian ini bukan sekadar acara sukan, tetapi juga sebuah inisiatif kebajikan untuk mengumpul dana membantu kira-kira 1,000 anak-anak yang kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya akibat pandemik COVID-19.

 

 

LKM

 


Pengerusi YKM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap sumbangan melalui yuran penyertaan tersebut digunakan bagi memberi bantuan bulanan kepada anak-anak ini untuk memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

 

“YKM menyalurkan sumbangan sebanyak RM200 kepada anak-anak yang berusia 16 tahun ke bawah pada setiap bulan manakala RM250 untuk pelajar yang berusia 16 tahun ke atas sehingga tamat pengajian ijazah pertama di institusi pengajian tinggi melalui Bantuan Kasih.

 

“Malah pada setiap tahun mereka turut menerima dua bantuan one-off iaitu Bantuan Persekolahan/Bantuan Menara Gading dan Bantuan Perayaan, masing-masing sebanyak RM300 setiap seorang,” kata beliau sewaktu meninjau laluan LKM 2025 di Padang Merbok pada Ahad lepas.

 

Beliau berkata, YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun untuk memastikan bantuan dapat disalurkan kepada anak-anak sehingga mereka dewasa.

 

Selain itu katanya, LKM juga bertujuan menyemarakkan semangat prihatin serta menggalakkan gaya hidup sihat selari
dengan hasrat agenda Malaysia Sihat dan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan dan
kebersamaan.

 

“YKM menyeru orang ramai agar bersama-sama menyertai larian ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni
membantu golongan anak yatim.

 

“Pada masa sama, pihak korporat dialu-alukan untuk menjadi penaja LKM 2025, sekaligus memperkukuh peranan sektor swasta dalam mengangkat agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 

“LKM 2025 bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi sebuah manifestasi solidariti kita bersama dalam membantu anak-anak
yatim yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Sesungguhnya, mereka masih lagi trauma dengan tragedi itu
meskipun sudah tiga tahun berlalu,” kata beliau.

 

Setiap sumbangan korporat kepada LKM 2025 layak mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

 

Selain menyertai larian amal, peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah
yang disediakan khas untuk memeriahkan lagi acara.

 

LKM 2025 adalah wadah memperkukuh silaturahim, membudayakan gaya hidup sihat, dan yang paling penting –
berlari sambil menyumbang demi masa depan anak-anak Malaysia. - DagangNews.com