Larangan guna kaedah faedah rata pembiayaan peribadi dijangka tidak jejaskan bank - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Larangan guna kaedah faedah rata pembiayaan peribadi dijangka tidak jejaskan bank - CGS International

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Okt – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan penggunaan kaedah ‘Rule of 78’ dalam pengiraan faedah pembiayaan peribadi (PF) dijangka tidak memberi kesan material kepada margin faedah bersih bank, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bank dijangka melaraskan kadar pinjaman mereka untuk mengekalkan keberkesanan hasil daripada sektor PF. 

 

"Dalam pandangan kami, pengenalan peraturan berkenaan kepada PF mungkin menjadi pelopor dan diperluaskan kepada sektor pinjaman lain termasuk pinjaman kereta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

BNM dalam kenyataan dasar PF bertarikh 30 September 2025, menyatakan semua institusi kewangan tidak lagi dibenarkan menawarkan pembiayaan peribadi menggunakan kaedah kadar rata (flat rate) dan 'Rule of 78', berkuat kuasa serta-merta.

 

Kaedah 'Rule of 78' secara tradisional membolehkan institusi kewangan mengutip sebahagian besar faedah pada awal tempoh pinjaman, sekali gus memastikan pulangan yang lebih cepat dan stabil kepada bank.

 

Pasaran melihat keputusan ini akan memaksa bank untuk beralih sepenuhnya kepada kaedah imbangan berkurangan (reducing balance), yang dikatakan lebih selaras dengan prinsip keadilan dan ketelusan, tetapi memberikan profil pulangan yang lebih lambat dan beransur-ansur.

 

Sementara itu CGS International berkata susulan peraturan baru dalam PF ini, Bank Islam Malaysia Berhad dilihat paling terjejas.

 

Menurut data sehingga akhir Jun 2025, PF hanya menyumbang 5.2% daripada jumlah pinjaman industri perbankan. 

 

Namun, Bank Islam mencatatkan pendedahan tertinggi kepada segmen ini, iaitu 30.5% daripada jumlah pembiayaannya.

 

Sebaliknya, bank-bank utama seperti Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Hong Leong Bank (HLB) masing-masing hanya mempunyai sekitar 2% pendedahan, menjadikan impak kewangan mereka lebih terhad.

 

Mengenai peraturan yang mengkhendaki peminjam PF melebihi RM100,000 untuk menghadiri kursus kewangan anjuran institusi kewangan atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), CGS International berpendapat langkah ini mampu membantu mempertingkat celik kewangan.

 

"Ia dijangka tidak memberi kesan besar kepada pertumbuhan pinjaman atau risiko kredit bank," katanya.

 

CGS International berkata, walaupun berdepan perubahan struktur, pihaknya masih mengekalkan saranan ‘Overweight’ ke atas sektor perbankan Malaysia, disokong oleh potensi penilaian semula ekuiti hasil daripada penulisan balik peruntukan pengurusan dan jangkaan peningkatan kadar pembayaran dividen.

 

"Pilihan utama sektor ini kekal meliputi Hong Leong Bank (HLB), RHB Bank dan CIMB Group Holdings," katanya. - DagangNews.com