KUALA LUMPUR 21 Jan — Lambakan kapasiti stok pengeluaran sarung tangan dari China dan 'perang' harga yang semakin sengit terus menjadi isu kritikal menekan prospek Hartalega Holdings Berhad.
Situasi tersebut mendorong RHB Research mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) yang baharu iaitu 82 sen, turun berbanding sebanyak 94 sen sebelum ini.
Firma penyelidikan itu menambah, walaupun permintaan sarung tangan di pasaran global dijangka mampu berkembang sekitar 8% pada 2026, industri itu pula namun kekal terlebih bekalan secara struktur.
"Keadaan ini akibat tekanan harga secara berterusan susulan kemunculan kapasiti luar pesisir China, termasuk fasiliti di Indonesia yang memang menyasarkan pasaran Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Menurut RHB Research, pertumbuhan pendapatan sektor pada 2026 dijangka tidak didorong oleh faktor pemulihan harga jualan purata (ASP), sebaliknya banyak bergantung kepada kecekapan operasi.
Kadar penggunaan kapasiti dan kawalan kos kata firma itu, juga memberi kesan besar, namun risiko kelemahan dolar AS dan kenaikan kos bahan mentah dinilai berpotensi menekan margin Hartalega.
Bagi syarikat itu, pendedahan kepada risiko ini dilihat lebih tinggi berikutan skala operasi dan tumpuan kepada sarung tangan jenis nitril, di samping margin keuntungan operasi yang masih nipis.
"Kami turut menegaskan yang kumpulan tersebut ketika ini merupakan saham paling mahal dalam sektor, didagangkan pada kira-kira 32 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) hadapan," katanya.
Seiring situasi semasa, RHB Research menyemak turun unjuran pendapatan Hartalega bagi FY26 hingga FY28 antara 6% hingga 9%, mengambil kira andaian kadar tukaran dolar AS yang lebih rendah.
TP diunjur firma itu bersandarkan penilaian 0.63 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/B) bagi CY26, atau 1.8 sisihan piawai di bawah purata tiga tahun*, termasuk diskaun ESG sebanyak 3%.
Bagaimanapun, antara pemangkin positif kepada penilaian semula itu ialah pengukuhan dolar AS, pengurangan persaingan pasaran, peningkatan ASP, serta perluasan kapasiti yang lebih pantas
"Kadar penggunaan kilang yang lebih tinggi daripada jangkaan diramal mampu membantu tahap kecekapan kos Hartalega sepanjang tahun ini," kata RHB Research. - DagangNews.com








