Lambakan bekalan di pasaran global oleh China terus bebankan sektor sarung tangan, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lambakan bekalan di pasaran global oleh China terus bebankan sektor sarung tangan, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JanSektor sarung tangan terus berdepan tekanan struktur daripada lebihan bekalan di pasaran global oleh syarikat China, meskipun prospek permintaan jangka panjang adalah positif.

 

Dua firma penyelidikan dalam analisis mereka menyifatkan situasi semasa lebihan stok produk berkenaan dikhuatiri menambahkan lagi beban persaingan dan menekan margin pemain industri tempatan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata kebimbangan utama berpunca daripada perluasan kapasiti secara agresif oleh Intco Medical Technology Co Ltd dari China, khususnya di rantau Asia Tenggara.

 

"Syarikat yang berpangkalan di Zibo, Wilayah Shandong ini memiliki puluhan kilang di negara itu, serta mula aktif meneroka pasaran jauh lebih besar di Eropah dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

 

Selain itu, pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, turut menjadi faktor negatif kepada sektor sarung tangan getah, apabila memberi kesan kepada penyusutan hasil dan margin keuntungan.

 

Situasi itu mendorong sikap lebih berhati-hati dalam kalangan pengedar, dan sudah terbukti apabila eksport sarung tangan Malaysia mencatat kejatuhan 29.2% bulan ke bulan (MoM) pada November 2025.

 

HLIB justeru mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor tersebut, dengan menyatakan bahawa pembetulan harga saham sepanjang 2025 telag mengambil kira cabaran jangka pendek dan panjang.

 

"Risiko lebihan bekalan namun masih mengekang sentimen pelabur, dengan perluasan kapasiti Intco di Vietnam dan Indonesia, berpotensi menambah puluhan bilion unit sarung tangan setahun," katanya.

 

Pada masa saya, firma itu menilai peningkatan kapasiti syarikat tersebut di China sendiri pada 2025, dengan peningkatan stok dilihat untuk memenuhi pasaran AS dan bukan AS secara berasingan.

 

Sementara itu, UOB Kay Hian pula menjangkakan jualan volum sektor sarung tangan bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) berpotensi meningkat antara 5% hingga 10% suku ke suku (QoQ).

 

Perkembangan positif itu disokong kitaran pengisian semula pasaran AS, tetapi kesan itu dijangka diimbangi oleh tekanan margin akibat persaingan sengit di Eropah dan lebihan bekalan dari China.

 

"Penilaian sektor ketika ini diniagakan di bawah purata sejarah, namun gangguan struktur akibat kemasukan pemain China dijangka menyebabkan penurunan penilaian jangka panjang," tambah firma itu.

 

Berdasarkan perkembangan pasaran yang masih tidak menentu, UOBKH menyifatkan cabaran semasa menjadikan tahap risiko dan ganjaran sektor sarung tangan sebagai kekal sederhana. - DagangNews.com