KUALA LUMPUR 18 Dis - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pegangan sahamnya dalam Tenaga Nasional Bhd (TNB) kepada 22.11% susulan pembelian tambahan saham di pasaran terbuka.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, KWSP dilaporkan telah memperoleh sejumlah 7.03 juta saham biasa TNB pada 15 Disember 2025 melalui beberapa transaksi berasingan yang diuruskan oleh Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn. Bhd.
Pembelian tersebut melibatkan 5.75 juta saham di bawah akaun Lembaga KWSP, 973,100 saham melalui KWSP-IC, selain 100,000 saham dan 202,600 saham masing-masing di bawah mandat pelaburan AM Investment dan Templeton.
Susulan transaksi berkenaan, pegangan langsung KWSP dalam TNB meningkat kepada 1.29 bilion saham, mewakili 22.11% kepentingan ekuiti dalam syarikat utiliti nasional itu.
Langkah meningkatkan pegangan ini mencerminkan keyakinan berterusan KWSP terhadap prospek jangka panjang TNB, khususnya dalam peranannya sebagai pemain utama sektor tenaga negara serta peralihan berterusan ke arah tenaga boleh diperbaharui.
Notis perubahan kepentingan itu bertarikh 16 Disember 2025 dan diterima oleh TNB pada 18 Disember 2025. - DagangNews.com








