KWSP, PNB dan KWAP salur modal sokong transformasi syarikat tersenarai menerusi inisiatif 'My Value Up' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP, PNB dan KWAP salur modal sokong transformasi syarikat tersenarai menerusi inisiatif 'My Value Up'

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia yang diperkenalkan bagi meningkatkan penilaian syarikat tersenarai serta menjadikan pasaran modal negara lebih menarik kepada pelabur
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan memperuntukkan sebahagian modal bagi menyokong transformasi syarikat tersenarai yang berpotensi.

 

Langkah ini bertujuan memperkukuh pasaran modal Malaysia dengan memberi penekanan kepada amalan tadbir urus yang baik, pengurusan modal yang lebih cekap serta tahap ketelusan yang lebih tinggi dalam kalangan syarikat tersenarai melalui program ‘My Value Up’.

 

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia yang diperkenalkan bagi meningkatkan penilaian syarikat tersenarai serta menjadikan pasaran modal negara lebih menarik kepada pelabur.

 

Melalui inisiatif ini, syarikat digalakkan memperjelaskan strategi pertumbuhan mereka dengan lebih tersusun serta membuat penanda aras dengan syarikat setara di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan pelabur.

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KWSP, PNB dan KWAP sebagai pelabur institusi utama negara akan memainkan peranan penting dengan menyalurkan modal kepada syarikat yang memenuhi kriteria tadbir urus baik, pengurusan modal berkesan serta fokus kepada penciptaan nilai jangka panjang.

 

“Ini adalah isyarat penting. Malaysia mahu pasaran modal yang bukan sahaja lebih besar, tetapi lebih baik yang memberi ganjaran kepada disiplin, akauntabiliti dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 yang turut menjadi platform penting membincangkan hala tuju pasaran modal negara.

 

Menurut beliau, pasaran modal Malaysia perlu terus berkembang bukan sahaja dari segi saiz, tetapi juga kualiti, selaras dengan perubahan keutamaan pelabur yang kini lebih menekankan aspek ketelusan, pengurusan modal yang berkesan dan hala tuju strategik syarikat.

 

t

 

Ahmad Zahid berkata pasaran modal berperanan sebagai penghubung penting antara aspirasi ekonomi negara, peluang perniagaan serta pelabur dalam memperkukuh ekosistem pertumbuhan negara.

 

“Kerajaan mahu memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada semua pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana, pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usahawan, belia serta komuniti luar bandar.

 

“Pasaran modal yang kukuh bukan sahaja menyokong syarikat besar, tetapi turut memperkukuh ekosistem keusahawanan, inovasi serta peluang ekonomi yang lebih meluas,” katanya.

 

Dalam masa sama, beliau menegaskan  syarikat bukan sahaja perlu menjana keuntungan, tetapi juga perlu dipercayai, mampan dan bertanggungjawab dalam setiap aspek operasi bagi kekal berdaya saing.

 

Inisiatif ‘MY Value Up’ juga menggalakkan syarikat memberi tumpuan kepada strategi jangka panjang, komunikasi korporat yang lebih jelas serta usaha meningkatkan nilai berterusan kepada pemegang saham.

 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan saiz pasaran modal Malaysia telah mencecah RM4.3 trilion pada tahun 2025, iaitu lebih dua kali ganda daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

 

Jumlah dana yang diperoleh turut meningkat kepada RM187.7 bilion, manakala sebanyak 60 tawaran awam permulaan (IPO) direkodkan dalam tempoh tersebut.

 

Selain itu, pasaran modal Islam negara terus berkembang kukuh dengan nilai keseluruhan mencecah RM2.7 trilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju utama kewangan Islam di peringkat global. - DagangNews.com