KWAP ditipu RM200 juta dalam skandal eFishery Indonesia, PM dedahkan di Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWAP ditipu RM200 juta dalam skandal eFishery Indonesia, PM dedahkan di Parlimen

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Julai — Buat pertama kali, kerajaan mengakui secara rasmi bahawa Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP turut menjadi mangsa penipuan membabitkan syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery sebanyak RM200 juta ke dalam pelaburan yang kemudiannya didapati berasaskan penyata kewangan yang dimanipulasi.

 

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tersebut dibuat selepas melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan, termasuk usaha wajar (due diligence), namun akhirnya terbukti sebagai satu penipuan yang dirancang oleh pengurusan eFishery.

 

Menurut beliau, keputusan pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang dikemukakan syarikat, termasuk penyata kewangan yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah.

 

"Malah, konsortium pelabur yang turut disertai KWAP juga menjalankan proses semakan wajar secara bebas bagi memastikan semua maklumat yang diberikan adalah lengkap dan tepat.

 

"Namun begitu, pelaburan dalam eFishery merupakan satu penipuan yang disengajakan apabila pihak pengurusan syarikat memanipulasi penyata kewangan syarikat," kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.


 

KWAP

 


Pendedahan itu merupakan pengakuan rasmi pertama kerajaan mengenai penglibatan KWAP dalam skandal eFishery yang menggemparkan Indonesia dan komuniti pelaburan antarabangsa.

 

Anwar menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) mengenai sama ada pengurusan, lembaga pengarah atau panel pelaburan KWAP akan dipertanggungjawabkan terhadap kerugian tersebut.

 

KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta (kira-kira RM200 juta) dalam eFishery pada Julai 2023. Ketika itu, syarikat berkenaan dipromosikan sebagai syarikat teknologi yang berpotensi merevolusikan industri penternakan ikan dan udang melalui penggunaan teknologi digital.

 

Turut heret pelabur global

Anwar berkata, KWAP bukan satu-satunya mangsa apabila beberapa pelabur institusi dan dana teknologi antarabangsa turut mengalami kerugian, termasuk Temasek Holdings Pte Ltd dari Singapura, Northstar Group serta SoftBank Group dari Jepun.

 

Tahun lalu, pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung selepas disabitkan atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.


 

efishery
Gibran Huzaifah, pengasas bersama eFishery yang mencetuskan skandal kewangan terbesar ASEAN


 

Sebelum itu, beliau digantung daripada syarikat susulan penemuan ketidakteraturan hasil syarikat dan kemudian mengakui kepada Bloomberg bahawa beliau telah memanipulasi penyata kewangan eFishery, walaupun menafikan melakukan penyelewengan dana.

 

Usaha dapatkan semula pelaburan

Anwar berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan sebaik sahaja penipuan itu terbongkar dan kini sedang mengambil semua langkah yang boleh bagi mendapatkan semula dana pelaburan tersebut.

 

"Konsortium pelabur termasuk KWAP sedang meneruskan semua usaha yang boleh diambil bagi mendapatkan kembali dana pelaburan berkenaan," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau turut memaklumkan KWAP telah melaksanakan semakan menyeluruh terhadap proses penilaian, kelulusan dan pemantauan pelaburan, dengan hasil semakan telah dibentangkan kepada lembaga pengarah untuk tindakan lanjut.

 

"Tindakan susulan telah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus KWAP dan prinsip kebertanggungjawaban institusi," katanya. - DagangNews.com