KUALA LUMPUR 6 Sept - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengumumkan Kuching telah dimasukkan sebagai destinasi kelapan di bawah program Bonus Side Trip (BST) Malaysia Airlines, menjadikannya satu-satunya destinasi di Borneo yang ditawarkan dalam inisiatif tersebut.
STB berkata, program BST yang ditawarkan secara eksklusif oleh Malaysia Airlines membolehkan pelancong antarabangsa yang terbang ke Malaysia menggunakan tiket antarabangsa menambah satu destinasi domestik tambahan tanpa tambang tambahan, hanya perlu membayar cukai yang berkaitan.
“Kemasukan Kuching dalam program BST Malaysia Airlines mencerminkan kerjasama kukuh yang telah kami bina bersama Kumpulan Penerbangan Malaysia sejak pemeteraian memorandum persefahaman pada tahun 2024,” kata Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pencapaian ini membuktikan bagaimana kolaborasi dengan syarikat penerbangan nasional mampu mencipta peluang sebenar untuk Sarawak dengan memudahkan pelancong antarabangsa memasukkan negeri itu dalam perjalanan mereka.
“Melalui inisiatif ini, Sarawak memperluaskan capaian antarabangsa serta memperkukuh komitmennya terhadap pertumbuhan pelancongan lestari menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya.
STB berkata, kemasukan Kuching dalam program tersebut meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk semula jadi ke Borneo, menonjolkan kekayaan budaya, keindahan semula jadi, keunikan gastronomi serta festival bertaraf antarabangsa seperti Rainforest World Music Festival.
Sempena Pameran MATTA Kuala Lumpur yang bermula hari ini hingga 7 September, Sarawak turut mempamerkan tarikannya melalui 19 pempamer, persembahan budaya, demonstrasi secara langsung dan tawaran pelancongan eksklusif di pavilionnya di MITEC. - DagangNews.com








