KUALA LUMPUR 9 Jun – Kuala Lumpur mencipta pengiktirafan baharu di pentas global apabila muncul disenaraikan sebagai antara 10 kota yang paling utama dalam mata wang kripto di dunia.
Kejayaan itu dipaparkan dalam Indeks Bandar Mesra Kripto 2026 diterbitkan oleh platform gaya hidup rentas sempadan, Multipolitan yang berpangkalan di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam laporan terbaharunya, ibu negara Malaysia itu menduduki tangga kesembilan dunia, manakala jirannya, Singapura muncul sebagai bandar yang paling mesra kripto di peringkat antarabangsa.
"Pencapaian tersebut turut meletakkan Kuala Lumpur sebaris dengan beberapa lagi hab aset digital terkemuka global seperti Hong Kong, Dubai, Seoul, Bangkok dan Taipei," katanya dalam kenyataan.
Menurut Multipolitan, pencapaian itu mencerminkan peningkatan peranan Malaysia dalam ekonomi digital dan ekosistem aset maya serantau yang turut mengatasi prestasi banyak negara maju lain.
Kedudukan Kuala Lumpur dipacu kadar penggunaan digital yang tinggi, pembangunan pesat infrastruktur teknologi kewangan (fintech), kos operasi kompetitif serta peningkatan penyertaan pelabur runcit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Multipolitan, Nirbhay Handa berkata, pertumbuhan industri kripto di benua Asia kini tidak lagi tertumpu kepada pusat kewangan tradisional semata-mata.
"Pasaran yang mempunyai infrastruktur digital kukuh, tahap penggunaan fintech lebih tinggi dan akses meluas kepada aset digital kini menjadi pemacu penting ekonomi kripto global," kata beliau.

Laporan itu turut menunjukkan ada enam bandar rantau Asia Pasifik berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia, antaranya Hong Kong (ketiga), Taipei (ketujuh) dan Seoul (kelapan).
Ia didorong oleh kerangka kawal selia yang semakin jelas, pembangunan stablecoin dan dana dagangan bursa (ETF) aset digital, populasi celik teknologi serta persekitaran cukai lebih kompetitif.
Bagaimanapun Multipolitan menegaskan faktor penawaran kelebihan cukai yang rendah sahaja tidak lagi mencukupi untuk menarik banyak pelaburan aset digital antarabangsa dalam tempoh jangka panjang.
"Sebaliknya, bandar itu perlu menawarkan gabungan kepastian peraturan, sistem pelesenan telus, prasarana institusi yang kukuh dan penggunaan aset digital luas dalam kehidupan harian," tambahnya.
Laporan berkenaan turut menekankan bahawa kekuatan sebenar sesebuah hab kripto ketika ini diukur berdasarkan infrastruktur yang sudah beroperasi secara aktif, bukannya sekadar pengumuman dasar.
Trend semasa ujar laporan Multipolitan itu, menunjukkan kekayaan digital semakin tertumpu ke lokasi yang berjaya menggabungkan inovasi kewangan, tadbir urus yang baik dan mobiliti secara global.
Perkembangan berkenaan tegasnya, sekali gus menjadikan lokasi geografi sesebuah bandar sebagai faktor strategik baharu bagi pelabur dan usahawan aset digital untuk menjana peluang pendapatan.
"Penemuan ini mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara bandar berpotensi memainkan peranan besar dalam pertumbuhan industri aset digital dan teknologi kewangan di Asia Pasifik. - DagangNews.com








