KUALA LUMPUR 25 Mei - Malaysia terus mengekalkan kedudukan kukuh dalam industri halal global berasaskan kredibiliti institusi serta sistem pensijilan halal yang diterajui oleh JAKIM, menurut BMI, unit kepada Fitch Solutions.
BMI menegaskan, sistem pensijilan halal Malaysia kini diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa sebagai penanda aras utama dari segi ketelitian, konsistensi serta kematangan operasi, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap standard halal negara.
Menurutnya, kekuatan Malaysia bukan sekadar terletak pada aspek peraturan, tetapi turut disokong oleh persepsi global bahawa sistem halal negara mempunyai kredibiliti teknikal tinggi, diurus secara profesional serta mudah diterima dalam perdagangan antarabangsa.
Malaysia turut mendapat kelebihan daripada asas pengguna berpendapatan sederhana tinggi, dengan 47.6 peratus isi rumah dijangka memperoleh pendapatan melebihi AS$25,000 pada 2026, jauh lebih tinggi berbanding beberapa pasaran majoriti Muslim lain seperti Türkiye (25.9 peratus) dan Indonesia (9.6 peratus).
Selain itu, Malaysia memiliki ekosistem halal yang lebih menyeluruh merangkumi kewangan Islam, pelancongan, farmaseutikal dan sektor pembuatan berorientasikan eksport, menjadikannya antara pemain paling matang dalam ekonomi halal global.
Asas awal tadbir urus halal beri kelebihan kompetitif
Malaysia juga antara negara terawal memformalkan tadbir urus halal apabila pensijilan halal diperkenalkan pada 1994 di bawah JAKIM, sekali gus meletakkan asas kepada sistem yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sebagai perbandingan, beberapa negara Islam lain hanya memperkukuh kerangka halal mereka kemudian atau menggunakan pendekatan lebih berpecah, termasuk Indonesia yang beralih kepada sistem lebih berpusat melalui BPJPH pada 2017.
BMI berkata dalam pasaran global yang semakin kompetitif, pengeluar dan peruncit cenderung memilih pensijilan yang sudah diiktiraf secara meluas, menjadikan Malaysia sebagai rujukan penting dalam rantaian nilai halal antarabangsa.
Bagaimanapun, BMI mengakui cabaran utama Malaysia adalah ketiadaan kuasa pasaran domestik yang besar untuk memaksa pematuhan global secara menyeluruh, berbanding Indonesia yang mempunyai kelebihan dari segi saiz permintaan pengguna.
Selain itu, sistem pensijilan halal global masih bersifat berpecah dan tidak seragam, sekali gus meningkatkan kos pematuhan serta menyukarkan akses pasaran bagi pengeluar dan pengeksport.
Ekonomi halal global terus berkembang pesat
Dalam perkembangan global, ekonomi halal kini berkembang daripada sekadar pematuhan agama kepada sistem perdagangan antarabangsa yang besar, dengan segmen makanan dan minuman kekal sebagai penyumbang terbesar.
Perbelanjaan global bagi makanan dan minuman halal dijangka meningkat daripada AS$1.3 trilion pada 2026 kepada AS$1.8 trilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan sekitar 6.9 peratus, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi kukuh di pasaran majoriti Muslim.
Menurut BMI, pertumbuhan ini turut disokong oleh peningkatan permintaan global, namun cabaran utama industri kekal pada isu fragmentasi sistem pensijilan antara negara. - DagangNews.com








