KUALA LUMPUR 25 Sept - Avangaad Bhd, sebelum ini dikenali sebagai EA Technique (M) Bhd, mengumumkan juruaudit luarnya, Messrs KPMG PLT, telah meletak jawatan berikutan pertikaian mengenai cadangan yuran audit.
Syarikat penyedia perkhidmatan dan penyelesaian operasi marin itu mengumumkan Messrs Grant Thornton Malaysia PLT akan dilantik sebagai juruaudit baharu.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Avangaad berkata pihaknya telah menerima notis peletakan jawatan bertulis daripada KPMG bertarikh 24 September. Tempoh perkhidmatan KPMG akan tamat secara rasmi selepas 21 hari daripada tarikh notis tersebut.
KPMG sebelum ini telah dilantik semula sebagai juruaudit luar pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Avangaad pada 28 Mei lalu dan dijangka berkhidmat sehingga tamat AGM berikutnya.
“Lembaga pengarah telah meluluskan cadangan jawatankuasa audit untuk melantik Grant Thornton Malaysia sebagai juruaudit baharu selepas menilai kemampuan, tahap kebebasan serta cadangan yuran audit mereka,” kata Avangaad.
Pelantikan itu tertakluk kepada Grant Thornton Malaysia memberikan persetujuan bertulis untuk bertindak sebagai juruaudit, selaras dengan Seksyen 264(5) Akta Syarikat 2016. Avangaad menambah bahawa pengumuman lanjut akan dibuat setelah persetujuan bertulis diterima.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY2025), Avangaad melaporkan penurunan mendadak 89% dalam keuntungan bersih kepada RM10.68 juta berbanding RM101.54 juta tahun sebelumnya. Keuntungan tahun lalu termasuk pendapatan sekali sahaja berkaitan dengan pelan penyusunan semula PN17 dan skim pengaturan.
Sementara itu, hasil meningkat sedikit kepada RM62.25 juta berbanding RM61.81 juta tahun sebelumnya, disokong oleh kadar sewaan lebih tinggi bagi kontrak bot kru pantas.
Selepas tiga tahun, Avangaad berjaya keluar daripada status PN17 pada Februari lalu selepas menyusun semula kedudukan kewangannya. Pemulihan itu disokong oleh Voultier Sdn Bhd, yang muncul sebagai ‘white knight’ dengan memperoleh 51% pegangan dalam syarikat.
Dahulu dikenali sebagai EA Technique, syarikat itu jatuh ke status PN17 pada Februari 2022 selepas ekuiti pemegang sahamnya hanya RM5.96 juta setakat akhir Disember 2021 — kurang 50% daripada modal sahamnya berjumlah RM179.76 juta.
Saham Avangaad ditutup tidak berubah pada 30 sen pada Khamis, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM397.9 juta. Sepanjang setahun lalu, sahamnya telah susut sebanyak 3.2%. - DagangNews.com








