KUALA LUMPUR 29 Jan — Powerwell Holdings Berhad dijangka memperoleh tambahan keuntungan sekitar RM2.6 juta bagi tahun kewangan 2026 susulan kontrak pusat data (DC) baharu bernilai RM68.4 juta.
Perkembangan positif tersebut sekali gus mendorong Malacca Securities menyemak semula unjuran pendapatan kumpulan berkenaan kepada RM23.0 juta, berbanding anggaran terdahulu hanya RM20.7 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak diperoleh melalui subidiarinya, Powerwell International Sdn Bhd, daripada sebuah syarikat teknologi multinasional untuk kerja-kerja berkaitan DC di Selangor.
"Tender ini akan memberi sumbangan bermakna kepada pendapatan Powerwell bagi FY26 hingga FY27, dengan andaian margin bersih sekitar 12.7%," kata firma tersebut dalam nota analisisnya hari ini.
Kira-kira RM20.5 juta atau 30% daripada nilai kontrak dijangka siap menjelang 4QFY26, terutamanya melibatkan kerja reka bentuk dan perolehan, manakala baki RM47.9 juta akan selesai pada FY27.
Artikel berkaitan: Powerwell menang tender RM68.4 juta berkaitan pusat data di Selangor
Situasi tersebut jelas Malacca Securities berikutan corak pengiktirafan pendapatan Powerwell selama ini yang bersifat muatan secara belakang, untuk memastikan perkembangan projek tidak terjejas.
Ia menilai kontrak bernilai keseluruhan RM68.4 juta itu dijangka menyumbang peningkatan keuntungan RM2.6 juta bagi FY26, selaras dengan semakan saluran industri yang dijalankan firma tersebut.
"Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran keuntungan Powerwell bagi FY27 kepada kira-kira RM40.5 juta, berbanding anggaran sebelum ini cuma RM32.2 juta," tambah firma penyelidikan berkenaan.
Dari segi penilaian, Malacca Securties turut menyemak naik harga sasaran (TP) kumpulan itu sebanyak 21% kepada 93 sen sesaham, berdasarkan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan pertengahan FY27.
Jangkaan tersebut katanya, dengan mengambil kira sumbangan penuh projek baharu berkenaan serta prospek pertumbuhan berterusan Powerwell sendiri dalam segmen DC. - DagangNews.com








