Kontrak terkini AGX bersama Malaysia Airlines dijangka sumbang hasil mulai 2QFY26 — Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak terkini AGX bersama Malaysia Airlines dijangka sumbang hasil mulai 2QFY26 — Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Jan — Isu utama yang kini menjadi tumpuan pelabur AGX Group Berhad ialah bilakah kontrak strategiknya bersama Malaysia Airlines Berhad (MAS) akan mula menjana pendapatannya.


Bagaimanapun, menurut Phillip Capital Research, sumbangan hasil pertama daripada tender selama tiga tahun itu dijangka hanya dapat bermula pada tempoh suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26).


Firma penyelidikan tersebut berkata, perjanjian perkhidmatan penghantaran kargo udara dan broker kastam yang dimeterai dengan MAS baru-baru ini, berkuat kuasa dari Disember 2025 hingga November 2028.


"Di bawah kontrak tersebut, AGX akan menyediakan perkhidmatan logistik 24 jam termasuk Aircraft-on-Ground (AOG) bagi menyokong operasi dan penyelenggaraan armada MAS," katanya dalam analisis.


Phillip Capital menjelaskan, tempoh peningkatan operasi dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan, sebelum sumbangan pendapatan ke atas kumpulan bermula secara bermakna pada 2QFY26.


Dengan kontrak ini, peranan AGX diperluaskan daripada penyedia perkhidmatan AOG kepada rakan logistik penuh MAS, merangkumi operasi penyelenggaraan rutin dan penghantaran komponen pesawat.


Nilai kontrak berkenaan namun tidak didedahkan kerana caj perkhidmatan adalah berdasarkan kadar yang dipersetujui bersama, dengan pembayaran dibuat dalam tempoh 60 hari daripada tarikh invois.

 

Artikel berkaitan: AGX Group raih kontrak logistik Malaysia Airlines selama tiga tahun


"Kami menilai potensi sumbangan hasil ini adalah setara dengan pelanggan utama, iaitu AirAsia, walaupun MAS mengendalikan armada yang lebih kecil sekitar 100 pesawat," kata Phillip Capital.


Ini berbeza dengan 240 pesawat badan sempit AirAsia, tetapi operasi MAS pula jelasnya, melibatkan pesawat yang bersaiz besar, penghantaran komponen berat, serta keperluan AOG secara lebih kerap.


Sebagai rujukan tambah firma penyelidilan tersebut, sumbangan hasil daripada AirAsia pada 2025 dianggarkan sekitar RM50 juta, mewakili kira-kira 17% daripada unjuran hasil tahunan penuh AGX.


Justeru, Phillip Capital terus mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran 85 sen sesaham, berdasarkan ramalan gandaan 12 kali pendapatan sesaham sepanjang 2026.


"Kami menegaskan unjuran pendapatan semasa belum mengambil kira sumbangan daripada kontrak MAS, sekali gus menyediakan ruang peningkatan kepada anggaran hasil jika berjalan lancar," katanya.


Antara cabaran utama kepada pandangan positif tersebut termasuk risiko permintaan kargo yang lebih rendah daripada jangkaan, penurunan kadar penghantaran dan masalah kehilangan pelanggan utama.


Secara keseluruhan Phillip Capital namun melihat kontrak bersama MAS itu sebagai pemangkin penting yang mengukuhkan kedudukan AGX dalam segmen logistik penerbangan. - DagangNews.com