KUALA LUMPUR 21 Jan – Mitrajaya Holdings Bhd memaklumkan yang nilai kontrak diserahkan oleh sebuah syarikat Australia, NEXTDC Ltd, menerusi anak syarikatnya di Malaysia meningkat kepada RM844.66 juta berbanding RM801.8 juta yang diumumkan pada September 2025, susulan penerimaan arahan variasi (VO) terbaharu.
Menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia, kontrak yang dianugerahkan kepada anak syarikatnya, Pembinaan Mitrajaya Sdn Bhd, oleh NEXTDC Sdn Bhd telah dipinda bagi merangkumi pembinaan kerja-kerja utama pusat data di Kuala Lumpur untuk Fasa 3 Peringkat 1, dengan nilai tambahan sebanyak RM42.81 juta.
Mitrajaya berkata, ini merupakan VO keempat bagi projek berkenaan, yang dijangka siap sepenuhnya pada 28 Julai tahun ini.
Pada September tahun lalu, kumpulan itu mengumumkan bahawa jumlah kontrak telah meningkat lebih dua kali ganda daripada RM375.5 juta kepada RM801.8 juta, susulan penambahan skop kerja pembinaan pusat data di Kuala Lumpur bagi Fasa 2 Peringkat 1, Peringkat 2, serta Fasa 1 Peringkat 3, melibatkan nilai RM426.3 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, NEXTDC pada 2023 mengumumkan rancangan untuk membangunkan kemudahan pusat data di Kuala Lumpur, dengan pelaburan sebanyak RM3 bilion di Malaysia dalam tempoh lima hingga 20 tahun.
Dari segi prestasi kewangan, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2025 (9MFY2025), keuntungan bersih Mitrajaya melonjak lebih 12 kali ganda kepada RM49.28 juta berbanding RM3.83 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 131% tahun ke tahun kepada RM500.89 juta, didorong terutamanya oleh prestasi kukuh segmen pembinaannya. - DagangNews.com








