Kontrak JKR RM168 juta naik taraf jalan persekutuan Kelantan-Terengganu, naikkan buku pesanan Citaglobal kepada RM1.3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak JKR RM168 juta naik taraf jalan persekutuan Kelantan-Terengganu, naikkan buku pesanan Citaglobal kepada RM1.3 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Syarikat kejuruteraan Citaglobal Bhd memperoleh kontrak bernilai RM168.88 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menaik taraf laluan sejauh 7.25 kilometer di Lebuhraya Persekutuan 3 (FT3) yang menghubungkan Kota Bharu–Kuala Terengganu.

 

Menurut kenyataan Citaglobal, kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB) selepas melalui proses tender kompetitif.

 

Projek tersebut melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada laluan sehala kepada dua hala mengikut piawaian JKR.

 

 

 

 

 

 

Dengan penganugerahan baharu ini, buku pesanan Citaglobal kini meningkat kepada RM1.3 bilion, sekali gus mengukuhkan unjuran pendapatan kumpulan itu untuk tempoh tiga tahun akan datang.

 

JKR membuka tender berkenaan pada Disember 2024, manakala CLSB mengemukakan bidaan pada Februari 2025, menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Citaglobal akan melaksanakan kerja-kerja bagi enam jambatan, lima persimpangan, kerja tanah, kerja geoteknik, saliran, turapan, pencahayaan, lampu isyarat, perabot jalan serta infrastruktur berkaitan. Kontrak itu dijangka siap dalam tempoh 42 bulan selepas tarikh pengambilan tapak.

 

“Walaupun kumpulan telah menyatakan hasrat untuk meneroka enjin pertumbuhan baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan teknologi, perniagaan kejuruteraan awam dan pembinaan kekal sebagai teras dan pemacu pendapatan stabil bagi kumpulan,” kata Pengerusi Eksekutif merangkap Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

 

 

 

 

 

 

Mohamad Norza merupakan pemegang saham terbesar Citaglobal dengan 29.31% kepentingan langsung dan tidak langsung melalui syarikat pegangan peribadinya, Tiza Global Sdn Bhd, diikuti Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pegangan sebanyak 13.25%.

 

Saham Citaglobal ditutup meningkat 1.5 sen atau 1.88% kepada 81.5 sen pada Khamis, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu berjumlah RM346.84 juta- DagangNews.com