KUALA LUMPUR 8 Jan – Konsortium yang diterajui oleh Kinergy Advancement Bhd mencapai satu pencapaian penting dalam pembangunan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) berkapasiti 1.5 gigawatt (GW) apabila memuktamadkan perjanjian pembekalan peralatan utama bagi projek berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Kinergy memaklumkan perjanjian tersebut melibatkan pembekalan sebuah Turbin Gas 9HA.02 dan sebuah Penjana H78, yang menjadi komponen kritikal bagi pelaksanaan Fasa 1 projek di tapak bekas Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC).
Menurut Kinergy, pemeteraian perjanjian pembekalan itu menandakan satu pencapaian penting dalam fasa pelaksanaan projek, khususnya bagi menyokong perancangan serta aktiviti perolehan Fasa 1.
“Dengan perjanjian pembekalan ini dimuktamadkan, konsortium telah mencapai satu pencapaian utama yang menyokong perancangan dan perolehan Fasa 1. Perkembangan ini dijangka menyokong penciptaan nilai sepanjang fasa pembinaan serta mewujudkan asas kukuh bagi projek tenaga berskala besar pada masa hadapan,” katanya.
Projek berkenaan dibangunkan di atas tapak brownfield yang sebelum ini menempatkan sebuah loji CCGT berkapasiti 650MW, yang telah dinyahoperasi pada 2024 susulan tamatnya perjanjian pembelian tenaga.
Apabila siap, loji janakuasa itu dijangka menjadi antara kemudahan janakuasa gas baharu di Semenanjung Malaysia yang mencapai operasi komersial sebelum 2030, selaras dengan pelan tenaga negara untuk menambah antara 6 hingga 8GW kapasiti janakuasa berasaskan gas.
Selain Kinergy selaku peneraju, konsortium tersebut turut disertai oleh Sirage Holdings Sdn Bhd dan B.Grimm Power, sekali gus menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa dalam pembangunan projek tenaga berskala besar. - DagangNews.com








