KUALA LUMPUR 11 Sept - Texchem Resources Bhd melepaskan 34% pegangan dalam syarikat milik tidak langsungnya, Sea Master Food Sdn Bhd (SMF), kepada Yamae Global Co Ltd dari Jepun dengan nilai tunai RM14.94 juta.
Selepas pelupusan tersebut, SMF kekal sebagai sub-subsidiari Texchem dengan 66% kepentingan ekuiti yang dipegang melalui Wilpack Food Services Sdn Bhd.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Texchem berkata langkah itu membolehkan SMF memanfaatkan kepakaran teknikal dan pengalaman Kumpulan Yamae, sebuah konglomerat Jepun yang terlibat dalam perniagaan makanan merangkumi hasil segar, makanan diproses, konfeksi dan minuman beralkohol.
“Dengan kerjasama Kumpulan Yamae, SMF dijangka dapat meningkatkan lagi kecekapan operasinya dan mengembangkan peluang perniagaan, sama ada di pasaran tempatan mahupun luar negara,” katanya.
Daripada hasil pelupusan sebanyak RM14.94 juta itu, Wilpack merancang untuk mengagihkan RM10 juta sebagai dividen satu peringkat kepada pemegang saham, menggunakan RM4.64 juta bagi pembayaran balik pinjaman, serta memperuntukkan RM300,000 untuk perbelanjaan dan cukai berkaitan pelupusan tersebut.

SMF, yang diperbadankan pada 1990, terlibat dalam pengimportan, pemasaran, perdagangan dan pengedaran barangan makanan termasuk beras. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, ia mencatatkan keuntungan bersih RM1.14 juta dengan aset bersih RM12.74 juta.
Selain SMF, perniagaan makanan Texchem turut merangkumi rangkaian restoran Sushi King. Syarikat itu juga terlibat dalam perdagangan pewarna, bahan tambahan tekstil dan bahan kimia yang digunakan dalam industri elektronik, plastik dan pembuatan lain.
Texchem berkata pelupusan tersebut tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2025, namun akan meningkatkan aset bersih sesaham serta kedudukan gearing kumpulan. Memandangkan SMF kekal sebagai sub-subsidiari, tiada keuntungan atau kerugian akan diiktiraf di peringkat kumpulan.
Pelupusan yang dicadangkan itu dijangka selesai pada suku keempat 2025. - DagangNews.com








