KomarkCorp cadang pengurangan modal RM148.7 juta hapus kerugian terkumpul sejak FY2017 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KomarkCorp cadang pengurangan modal RM148.7 juta hapus kerugian terkumpul sejak FY2017

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – KomarkCorp Bhd mencadangkan pengurangan modal saham sebanyak RM148.7 juta sebagai langkah merasionalisasi kedudukan kewangan kumpulan dengan mengimbangi kerugian terkumpul yang besar, menurut pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat pengeluar label pelekat sendiri dan pelitup muka itu berkata, pelaksanaan pengurangan modal tersebut akan menghapuskan kerugian terkumpul, sekali gus meningkatkan kredibiliti kewangan kumpulan di mata bank, pelanggan, pembekal dan pelabur.

 

Di peringkat kumpulan, KomarkCorp mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM118.36 juta setakat akhir September 2025. 

 

Susulan pelaksanaan cadangan pengurangan modal, kumpulan dijangka mempunyai keuntungan terkumpul sebanyak RM30.34 juta.

 

Di peringkat syarikat pula, kerugian terkumpul berjumlah RM148.76 juta akan dikurangkan kepada hanya RM59,327 selepas pengurangan modal dilaksanakan.

 

Setakat 15 Januari tahun ini, modal saham terbitan KomarkCorp berjumlah RM173.27 juta, merangkumi 230.92 juta saham biasa. 

 

Selepas pengurangan modal, modal saham syarikat akan diselaraskan kepada RM24.58 juta.

 

Selain itu, kumpulan turut merancang untuk mengagihkan semula baki RM13.07 juta daripada hasil terbitan hak pada 2023 yang pada asalnya mengumpul RM46.18 juta.

 

Dana tersebut sebelum ini diperuntukkan bagi membiayai pengembangan perniagaan pembuatan pelitup muka. 

 

Bagaimanapun, KomarkCorp kini bercadang untuk menyalurkan dana berkenaan kepada operasi pelabelan dan pembungkusan, selain pembayaran balik pinjaman bank.

 

Kesemua cadangan tersebut tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan kelak, dengan pelaksanaan dijangka selesai menjelang suku kedua 2026.
Untuk rekod, KomarkCorp telah mencatatkan kerugian sejak FY2017.

 

Bagi suku pertama berakhir 30 September 2025 (1QFY2026), KomarkCorp mencatatkan kerugian bersih RM1.68 juta, lebih rendah berbanding kerugian RM3.11 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi yang bertambah baik itu disumbangkan oleh pelarasan nilai saksama pelaburan lain tahun sebelumnya serta perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

 

Namun, hasil susut 8% kepada RM4.26 juta berbanding RM4.63 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com