KNM capai penyelesaian penuh dengan Kanadevia dalam pertikaian projek rawatan sisa pepejal di Negeri Sembilan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KNM capai penyelesaian penuh dengan Kanadevia dalam pertikaian projek rawatan sisa pepejal di Negeri Sembilan

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Anak syarikat milik penuh KNM Group Bhd, KNM Process Systems Sdn Bhd, telah mencapai penyelesaian penuh dan muktamad dengan Kanadevia Corporation dan anak syarikatnya, Alam Hzem Sdn Bhd, berhubung pertikaian berkaitan projek rawatan sisa pepejal di Negeri Sembilan.

 

Penyelesaian tersebut melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek sistem modular rawatan dan pemulihan sisa pepejal berteknologi maju (SMART WTE Systems) di Ladang Tanah Merah.

 

Di bawah terma perjanjian, semua pihak telah bersetuju untuk saling melepaskan – termasuk anak syarikat dan syarikat berkaitan masing-masing – daripada sebarang tuntutan, obligasi atau liabiliti, sama ada yang diketahui atau belum diketahui, yang timbul daripada projek berkenaan.

 

KNM menjelaskan pengumuman terdahulu bertarikh 25 Julai telah dikeluarkan sebelum memperoleh persetujuan rasmi semua pihak terlibat, seperti yang dikehendaki oleh perjanjian tersebut.

 

Syarikat itu telah mendapat kelulusan yang diperlukan pada 30 Julai dan mengeluarkan penjelasan bagi merasionalisasikan perkara berkenaan.

 

“Penyelesaian ini mewakili satu penamatan yang jelas dan membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan tanpa sebarang tuntutan atau obligasi lanjut berkaitan projek tersebut,” kata KNM.

 

Projek SMART WTE Systems bertujuan memperkenalkan teknologi rawatan sisa berasaskan modul yang maju, namun isu berkaitan prestasi telah menimbulkan pertikaian yang kini telah diselesaikan secara baik. - DagangNews.com