KLIA, Pulau Pinang terima lima penerbangan baharu termasuk Cambodia Airways, Juneyao Air | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLIA, Pulau Pinang terima lima penerbangan baharu termasuk Cambodia Airways, Juneyao Air

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Julai – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) terus memperkukuh jaringan penerbangan antarabangsa dengan penambahan lima perkhidmatan baharu pada bulan Jun 2025, sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan global terkemuka.

 

Dua daripada perkhidmatan tersebut dikendalikan oleh rakan syarikat penerbangan baharu, termasuk Cambodia Airways (KR) yang memulakan penerbangan dua kali seminggu antara Phnom Penh dan PEN, sekali gus mengeratkan hubungan rentas sempadan.

 

Sementara itu, Juneyao Air (HO) melancarkan penerbangan empat kali seminggu dari Shanghai ke KLIA, memperkukuh lagi hubungan Malaysia dengan Asia Timur serta menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang dari China dan negara sekitarnya.

 

 

Juneyao Air

 

 

Selain kemasukan syarikat penerbangan baharu, tiga laluan baharu turut diperkenalkan oleh rakan kongsi sedia ada, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran penerbangan Malaysia.

 

Batik Air Malaysia (OD) memulakan perkhidmatan dua kali seminggu antara KLIA dan Dili, Timor-Leste; AirAsia Cambodia (KT) memperkenalkan laluan tiga kali seminggu yang menghubungkan KLIA dengan Sihanoukville; manakala AirAsia (AK) mula mengendalikan penerbangan empat kali seminggu dari KLIA ke Darwin, Australia.

 

Pada Jun 2025, Malaysia Airports, termasuk aset luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul (ISG) di Türkiye, mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 12.7 juta.

 

Daripada jumlah itu, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang sebanyak 68% atau 8.5 juta pergerakan penumpang, terdiri daripada 4.2 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik.

 

ISG pula mencatatkan 4.1 juta jumlah pergerakan penumpang, meliputi 2.2 juta penumpang antarabangsa dan 1.9 juta penumpang domestik pada bulan tersebut.

 

Subang Airport

Di peringkat domestik, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) mencatatkan pertumbuhan ketara bulan ke bulan bagi Jun, dengan jumlah pergerakan penumpang meningkat sebanyak 9%, daripada 138,000 pada Mei kepada 151,000.

 

Pergerakan penumpang antarabangsa meningkat lebih 10%, daripada 36,000 kepada 40,000, manakala pergerakan domestik meningkat hampir 9%, daripada 102,000 kepada 111,000.

 

 

subang

 

 

Trend positif ini disokong oleh faktor muatan purata melebihi 70% bagi laluan serantau utama yang dikendalikan oleh Firefly Airlines (FY) ke Seletar (XSP), Scoot (TR) ke Changi (SIN), dan TransNusa Airlines (8B) ke Jakarta (CGK).

 

Peningkatan perjalanan domestik turut dipacu oleh sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai di Sabah dan Sarawak, serta perayaan Hari Raya Haji yang jatuh serentak dengan cuti sekolah, menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang negara. - DagangNews.com