KUALA LUMPUR 20 Jan – KKB Engineering Berhad melalui anak-anak syarikatnya memperoleh enam kontrak dengan nilai keseluruhan kira-kira RM80 juta daripada beberapa syarikat pembinaan dan kejuruteraan, sekali gus mengukuhkan buku tempahan kumpulan itu bagi tempoh sehingga 2027.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KKB berkata syarikat itu menerima pesanan daripada QC Construction & Engineering Sdn. Bhd, Bumia Sdn. Bhd dan EPR (Kuching) Sdn. Bhd. bagi pembekalan paip MSCL dan komponen berkaitan.
“Selain itu, KKB turut menerima pesanan daripada Global Rail Sdn. Bhd. bagi kerja pembekalan, fabrikasi serta proses khas untuk tiang sefi empat tepat VMISS,” katanya dalam makluman tersebut.
Selain itu, anak syarikat KKB iaitu Harum Bidang Sdn. Bhd dan KKB Industries (Sabah) Sdn. Bhd. masing-masing menerima pesanan daripada Chun Jun Piling Sdn. Bhd dan Citic Construction (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi pembekalan paip MS dan paip MSCL.
Menurut KKB, jumlah nilai kontrak bagi kesemua enam pesanan tersebut dianggarkan berjumlah RM80 juta.
Dari segi tempoh pelaksanaan, pesanan daripada QC dijadualkan dibekalkan sepanjang empat suku tahun bermula suku kedua 2026 hingga suku pertama 2027.
Kumpulan berkata pesanan daripada Global Rail pula akan dilaksanakan pada suku kedua 2026.
Sementara itu, pesanan daripada Bumia, EPR, Chun Jun Piling dan Citic Construction dijangka dihantar secara kolektif dalam tempoh suku ketiga 2026, tertakluk kepada sebarang variasi pesanan yang akan ditentukan kemudian.
KKB memaklumkan bahawa semua pesanan berkenaan tidak memberi kesan kepada modal saham syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih KKB dan kumpulan sepanjang tempoh pembekalan.
Bagaimanapun, syarikat turut menekankan beberapa faktor risiko yang boleh menjejaskan pelaksanaan pesanan, termasuk ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan mentah, risiko pertukaran asing, perubahan harga, keadaan cuaca serta faktor politik, ekonomi dan kawal selia.
KKB turut memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam semua tempahan tersebut.
Lembaga pengarah menyatakan kesemua pesanan yang diterima adalah demi kepentingan terbaik KKB dan kumpulannya. - DagangNews.com








