KUALA LUMPUR 17 Nov – Kumpulan Kitacon Bhd terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen pembinaan industri apabila anak syarikat milik penuhnya, Kitacon Sdn Bhd, menerima surat anugerah bernilai RM60.805 juta daripada Sime Darby Property (Lagong) Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Kitacon berkata kontrak tersebut meliputi kerja-kerja pembinaan utama di Taman Perdagangan Elmina, Rawang, melibatkan pembinaan dan penyempurnaan:
22 unit kilang separa berkembar dua tingkat dengan mezanin (Jenis B1)
22 unit kilang separa berkembar dua tingkat (Jenis B2)
Tiga pencawang TNB
Kerja-kerja sokongan serta infrastruktur berkaitan
"Setiap blok turut akan dilengkapi bilik pembuangan sampah dan petak pengecasan kenderaan elektrik (EV), selari dengan keperluan pembangunan industri moden," katanya.
Menurut Kitacon, kontrak berkenaan dijadualkan bermula pada 27 November 2025 dan mempunyai tempoh siap 24 bulan.
Kitacon menegaskan kontrak tersebut tidak menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham kumpulan.
Namun begitu, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Penganugerahan kontrak ini menzahirkan kepercayaan berterusan pemaju utama terhadap Kitacon, sejajar dengan rekod prestasi kukuh syarikat dalam melaksanakan projek pembinaan berkualiti tinggi. - DagangNews.com








