KIP REIT catat prestasi kukuh Q2FY2026, hasil melonjak hampir 45% dipacu aset runcit dan perindustrian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KIP REIT catat prestasi kukuh Q2FY2026, hasil melonjak hampir 45% dipacu aset runcit dan perindustrian

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Jan – KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mencatat prestasi kewangan yang kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2FY2026) serta tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025, dipacu oleh pemerolehan aset strategik dan prestasi memberangsangkan portfolio runcit serta perindustrian.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, KIP REIT berkata, hasil kasar bagi suku dikaji melonjak 44.9% tahun ke tahun kepada RM43.5 juta, dipacu terutamanya oleh segmen runcit di wilayah tengah yang menyaksikan hasil meningkat 110.7% kepada RM21.3 juta.

 

Pendapatan bersih hartanah (NPI) bagi suku tersebut meningkat 49.9% kepada RM32.4 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) naik 46.2% kepada RM17.5 juta.

 

Jumlah pendapatan boleh agih bagi suku itu turut meningkat 44.6% kepada RM17.8 juta.

 

KIP REIT berkata, prestasi cemerlang itu disokong oleh sumbangan kukuh DPulze Shopping Centre, yang menjana RM7.1 juta pada suku berkenaan, mewakili kira-kira 50.9% daripada NPI bagi wilayah tengah serta kejayaan pemerolehan KIPMall Desa Coalfields.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama FY2026, KIP REIT mencatatkan hasil kasar sebanyak RM84.2 juta, meningkat 48.6% tahun ke tahun, manakala NPI naik 50.5% kepada RM62.1 juta. 

 

PAT bagi tempoh tersebut melonjak 57.6% kepada RM34.8 juta.

 

Menurut KIP REIT, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh kadar penghunian yang lebih tinggi, pengurusan kos yang berkesan di seluruh portfolio serta sumbangan yang semakin meningkat daripada portfolio perindustrian kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, kumpulan berasa berpuas hati dengan prestasi kukuh bagi separuh pertama FY2026.

 

“Syarikat amat teruja untuk melaporkan prestasi yang sangat memberangsangkan bagi separuh pertama FY2026. Fokus strategik kami terhadap aset komuniti berpulangan tinggi terbukti membuahkan hasil. Aset runcit kami, khususnya di wilayah tengah, terus menjadi tulang belakang portfolio dengan aliran pendapatan yang stabil dan berkembang,” katanya.

 

Beliau berkata, dengan musim perayaan Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya yang bakal tiba, selain pelaksanaan skim SARA pada Februari. 

 

KIP REIT menjangkakan peningkatan trafik pengunjung di pusat beli-belahnya.

 

Menurutnya, skim SARA memberi manfaat langsung kepada kategori perbelanjaan keperluan seperti pasar segar dan peruncit nilai, yang merupakan teras kepada campuran penyewa KIP REIT, sekali gus menyokong lawatan berulang dan jualan penyewa.

 

Mengulas prospek, Valerie berkata, KIP REIT kekal fokus mengekalkan momentum pertumbuhan melalui pengurusan aset aktif dan pelaksanaan inisiatif peningkatan aset (AEI).

 

“Pembukaan semula rasmi KIPMall Tampoi pada 8 Februari 2026 menandakan kejayaan pelaksanaan AEI tersebut. Dengan pemasangan sistem pengiraan trafik baharu, fungsi yang dipertingkatkan dan ekosistem penyewa yang lebih baik, syarikat yakin dapat memacu pertumbuhan hasil yang mampan dan terus mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang unit,” katanya.

 

Pengurus KIP REIT telah mencadangkan pengagihan pendapatan ketiga sebanyak 1.7 sen seunit bagi Q2FY2026, yang akan dibayar pada 3 Mac 2026.

 

Ini menjadikan jumlah pengagihan setakat tahun ini kepada 3.50 sen seunit.

 

Berdasarkan harga penutup pasaran RM0.93 pada 21 Januari 2026, hasil pengagihan dua belas bulan terkumpul KIP REIT berada pada paras 7.6%. - DagangNews.com