KUALA LUMPUR 9 Jun — KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) melaksanakan urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) mencecah jumlah RM19.52 juta bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 9 Jun 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan amanah pelaburan hartanah itu menjelaskan, transaksi itu melibatkan pembayaran yuran pengurusan kepada pengurusnya, KIP REIT Management Sdn Bhd.
Nilai berkenaan mewakili 1.24% daripada jumlah aset teraudit setakat 30 Jun 2025, serta melepasi ambang pendedahan yang ditetapkan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.
"Pembayaran fi pengurusan ini selaras peruntukan dalam surat ikatan amanah yang mengawal selia operasi dana ini dan merupakan sebahagian urusan harian perniagaan biasa dijalankan," katanya.
Menurutnya, hubungan pihak berkaitan wujud kerana pemegang unit utama KIP REIT juga merupakan pemegang saham utama dalam KIP REIT Management Sdn Bhd, bertindak sebagai pengurus dana tersebut.
Bagaimanapun, KIP REIT menegaskan RRPT itu dilaksanakan secara telus, berasaskan prinsip urus niaga bebas serta mengikut terma komersial biasa yang tidak lebih menguntungkan pihak berkaitan sendiri.
Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko (ARMC) serta Lembaga Pengarah KIP REIT Management turut berpandangan transaksi itu adil, munasabah dan tanpa kepentingan pemegang unit minority terjejas.
"RRPT ini tidak memberi kesan kepada jumlah unit diterbitkan, pegangan pemegang utama, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap hutang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026," katanya.
Sehubungan itu, memandangkan nisbah peratusan transaksi berkenaan masih di bawah 5%, ia tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang unit KIP REIT. - DagangNews.com








