Kilang pemprosesan kelapa PT Resources di China terbakar, operasi dialihkan sementara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kilang pemprosesan kelapa PT Resources di China terbakar, operasi dialihkan sementara

Gambar arkib kilang pemprosesan kelapa milik anak syarikat PT Resources di China. Kilang tersebut dilaporkan mengalami kebakaran 8 September 2025.
Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 12 Sept – Operasi kilang pemprosesan kelapa milik anak syarikat PT Resources Holdings Bhd di China dialihkan sementara ke kilang berhampiran selepas berlaku kebakaran di kilang utama pada 8 September lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata insiden berkenaan melibatkan Fujian HJS International Holdings Co Ltd, iaitu anak syarikat milik penuh PT Resources yang beroperasi di Fuqing City, Wilayah Fujian, China.

 

Menurut syarikat itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan melibatkan kakitangan dalam kejadian tersebut.

 

“Namun, tahap sebenar kerosakan ke atas fasiliti serta kesan kewangan dan operasi masih belum dapat dipastikan memandangkan siasatan oleh Jabatan Bomba masih dijalankan,” kata PT Resources.

 

Bagi memastikan kelangsungan operasi, Fujian HJS telah mengambil langkah mitigasi dengan mengalihkan sementara aktiviti pemprosesan kelapa kepada pengilang berdekatan.

 

PT Resources berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi dan akan mengemas kini maklumat kepada pihak berkuasa serta pemegang saham sebaik sahaja penilaian penuh terhadap kerugian dan impak kejadian diselesaikan.

 

Pembinaan fasiliti pemprosesan kelapa di China adalah sebahagian usaha syarikat untuk memperluas keupayaan pemprosesan kepada produk berasaskan kelapa — termasuk produk seperti santan beku, susu kelapa, kelapa kering dan derivatif lain.

 

Kos pelaburan kira‑kira RM17 juta (RMB29 juta) dan sepenuhnya dibiayai melalui dana dalaman syarikat.

 

Fasiliti itu dibina di China‑Indonesia Food Industrial Park, Fuqing City, dalam zon ekonomi khusus untuk industri makanan. 

 

Lokasi ini memberikan kelebihan logistikk dilihat ebagai hab import dan pemprosesan kelapa, dengan jangkauan pasaran/kilang makanan dan minuman dalam radius 700 km dari fasiliti. 

 

Fasiliti tersebut berada dalam fasa pengeluaran percubaan bermula pertengahan Jun 2025.  - DagangNews.com