KUALA LUMPUR 24 Nov – KHPT Holdings Berhad (KHB) pengeluar dan pembekal komponen automotif mengisytiharkan Dividen Interim Tunggal Pertama sebanyak RM0.0035 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu dividen tersebut akan dibayar pada 30 Disember 2025 kepada para pemegang saham yang tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 9 Disember 2025.
"Pengisytiharan dividen ini menandakan komitmen berterusan KHB dalam memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham, disokong oleh prestasi kewangan yang berdaya tahan serta pengurusan modal yang berhati-hati meskipun sektor automotif berdepan cabaran semasa," kata kenyataan itu.
KHB berkata, walaupun sentimen pasaran lebih berhati-hati dan Jumlah Volum Industri (TIV) automotif Malaysia menunjukkan moderasi, kedudukan kewangannya kekal stabil hasil pengurusan operasi yang berdisiplin, penjajaran strategik dengan pelanggan utama serta langkah pengoptimuman kos yang berterusan.
Pengarah Urusan Kumpulan KHB, Datin Eloise See, berkata dividen ini merupakan pencapaian penting bagi KHB dan mencerminkan keyakinan kami terhadap asas kukuh Kumpulan.
"Meskipun persekitaran pasaran mencabar, keupayaan kami untuk terus memberikan pulangan kepada pemegang saham membuktikan ketahanan kedudukan kewangan serta komitmen terhadap pertumbuhan mapan jangka panjang,” katanya.
Melangkah ke hadapan, KHB berkata ia akan kekal fokus kepada kecemerlangan operasi, memperkukuh kerjasama pelanggan dan meneroka peluang dalam usaha lokalisasi serta teknologi automotif baharu bagi mengukuhkan lagi daya saing dan memacu pertumbuhan mampan. - DagangNews.com








