KUALA LUMPUR 26 Jan – QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang tidak tersenarai, mengesahkan peningkatan hasil sebanyak 31% bagi dua segmen perniagaan terbesarnya iaitu KFC Malaysia dan Pizza Hut Malaysia untuk tahun kewangan 2025 (FY2025).
Kumpulan itu berkata, prestasi positif tersebut dicapai walaupun industri makanan dan minuman berdepan tekanan kos yang meningkat serta sentimen pengguna yang lebih lemah.
Menurut kumpulan itu, sebagai tindak balas, pengurusan QSR Brands memperkenalkan kerangka operasi baharu yang memberi tumpuan kepada pengembangan permintaan, inovasi menu, disiplin kos dan kecekapan operasi.
Antara langkah strategik yang diambil termasuk penutupan sementara cawangan berprestasi rendah pada 2024, yang kini telah dibuka semula, selain pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja dan keupayaan digital bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Pada 2025, QSR Brands turut memeterai perkongsian strategik melibatkan operasi huluan ternakan ayam, yang membolehkan kumpulan mengalihkan semula modal ke perniagaan restoran terasnya serta memperkukuh kedudukan kunci kira-kira.
Dalam tempoh 2024 hingga 2025, kumpulan juga melaksanakan inisiatif untuk mengekalkan pekerjaan dan memastikan kestabilan tenaga kerja, termasuk penstrukturan semula kepimpinan dalaman melalui program “NextGen”, yang menyaksikan pengurus muda dinaikkan ke peranan kepimpinan kanan.
Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, prestasi FY2025 membuktikan keupayaan kumpulan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang mencabar.
“FY2025 membuktikan QSR Brands bukan sekadar berdaya tahan, tetapi menjadi pemacu kemajuan. Mencapai pertumbuhan dua angka sambil melindungi pekerja dan pelanggan mencerminkan kekuatan pasukan pengurusan dan kepimpinan kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Nehchal Khanna berkata, kumpulan memasuki FY2026 dengan rangkaian cawangan yang kembali beroperasi sepenuhnya serta tumpuan kepada pertumbuhan dipacu teknologi.
“Pelan hala tuju kami berpaksikan kepada insan, tujuan dan kemajuan. Dengan Pelan Transformasi yang sedang berjalan, kami yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi dan mewujudkan nilai mampan jangka panjang,” katanya.
Beliau turut menegaskan tadbir urus yang kukuh dan kawalan dalaman kekal sebagai teras pelaksanaan strategi kumpulan.
“Keupayaan kami untuk mengekalkan prestasi yang konsisten disokong oleh tadbir urus yang kukuh, pematuhan dan pelaksanaan yang berdisiplin,” katanya, sambil menambah sokongan berterusan daripada pemegang saham utama seperti Johor Corporation, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan CVC kekal penting dalam perjalanan transformasi kumpulan. - DagangNews.com








