KUALA LUMPUR 25 Julai – Keyfield International Bhd memperoleh dua kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan kapal sokongan penginapan (AWB) untuk menyokong operasi luar pesisir syarikat minyak nasional itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB), telah menerima satu arahan kerja baharu daripada Petronas Carigali pada 9 Jun lalu bagi penyediaan perkhidmatan AWB selama kira-kira empat bulan, dengan pilihan lanjutan selama sebulan.
Tempoh kontrak itu akan bermula pada suku ketiga tahun 2025.
Selain kontrak baharu tersebut, KOSB turut memperoleh lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali pada 30 Jun di bawah kontrak panel sedia ada bagi perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir.
Lanjutan tersebut adalah untuk tempoh 104 hari dan akan bermula pada suku ketiga tahun ini.
Keyfield tidak mendedahkan nilai kontrak berkenaan, namun memaklumkan bahawa kedua-dua kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).
Syarikat yang terlibat dalam penyewaan kapal sokongan luar pesisir itu turut menegaskan bahawa kedua-dua arahan kerja tersebut melibatkan risiko operasi biasa berkaitan aktiviti marin luar pesisir, yang terus dikurangkan melalui kawalan dalaman dan prosedur keselamatan yang kukuh. - DagangNews.com








