KEWASA 4.0 ubah cara mahasiswa fahami realiti Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KEWASA 4.0 ubah cara mahasiswa fahami realiti Sabah

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 11 Mei - Seramai 30 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia telah menyertai Misi Sukarelawan: Kembara Anak Watan ke Sabah (KEWASA) 4.0 yang berlangsung selama tujuh hari di Kunak dan Semporna, sekali gus membuka pengalaman baharu mengenai realiti kehidupan komuniti luar bandar di Sabah.

 

Program anjuran Kolej Tun Hussein Onn itu diadakan dari 30 April hingga 6 Mei 2026 dengan penglibatan pelbagai lokasi termasuk Kampung Lormalong, Sekolah Kebangsaan Madai, Rumah Ngaji Anak Asnaf dan SMK Bugaya II.

 

Pengarah program, Daniel Loy berkata, KEWASA 4.0 bukan sekadar aktiviti kesukarelawanan, sebaliknya platform pembelajaran lapangan yang membentuk mahasiswa lebih matang dalam memahami isu sosial dan pembangunan komuniti.

 

Menurut beliau, pengalaman turun ke lapangan memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa tentang cabaran sebenar masyarakat luar bandar, termasuk aspek pendidikan, infrastruktur dan pembangunan sosial.

 

Antara aktiviti utama ialah program keluarga angkat di Kampung Lormalong yang membolehkan mahasiswa tinggal bersama penduduk kampung serta menyertai aktiviti gotong-royong, rewang dan BBQ komuniti yang mengeratkan hubungan dua hala.

 

Program turut diserikan dengan sesi “Kopi Chat: Isu Setempat dan Masa Depan Kampung” bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif yang membincangkan isu pembangunan setempat serta masa depan generasi muda di kawasan berkenaan.


 

Norazlinah Arif
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif


 

solar

 

Dalam masa sama, sesi Bicara Kecerdasan Buatan (AI) turut diperkenalkan kepada komuniti kampung dan guru sebagai usaha meningkatkan kefahaman terhadap teknologi digital dalam kehidupan seharian.

 

Di Sekolah Kebangsaan Madai, pelbagai aktiviti pendidikan dilaksanakan termasuk Eksplorasi STEM, sesi motivasi pelajar serta penyampaian sumbangan kepada murid yang memerlukan.

 

Program turut membawa elemen budaya menerusi Malam Kebudayaan Silang Budaya yang menampilkan persembahan Sumazau, Dikir Barat serta tarian tradisional Sabah seperti Igal-Igal dan Manuk-Manuk, mencerminkan perpaduan budaya antara Semenanjung dan Sabah.

 

Sementara itu di SMK Bugaya II, mahasiswa menghasilkan Mural STEM serta melaksanakan sesi mentor mentee bersama pelajar Tingkatan 5 bagi membantu mereka merancang hala tuju selepas SPM.

 

Secara keseluruhan, KEWASA 4.0 bukan sahaja memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, malah membuka perspektif baharu tentang realiti Sabah serta peranan generasi muda dalam pembangunan komuniti berdaya tahan. - DagangNews.com