Kewangan Islam perlu pacu tindakan iklim, keterangkuman digital dan inovasi, kata Pengerusi SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kewangan Islam perlu pacu tindakan iklim, keterangkuman digital dan inovasi, kata Pengerusi SC

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi

KUALA LUMPUR 9 Sept – Kewangan Islam perlu memanfaatkan tiga pemacu utama – iaitu tindakan iklim, keterangkuman digital dan inovasi Islam – untuk berperanan lebih tinggi bagi Malaysia, Oman dan seluruh dunia, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Mohammad Faiz Azmi.

 

Beliau berkata pendekatan strategik terhadap kewangan Islam, seperti Panduan Maqasid Al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam Malaysia yang dikeluarkan pada 2023, serta Wawasan Oman 2040, menunjukkan kewangan bukan sekadar untuk menjana keuntungan semata-mata.

 

Mohammad Faiz menegaskan, langkah meningkatkan daya tahan dan adaptasi iklim kini bukan lagi satu pilihan, dan Malaysia telah melangkah ke hadapan dengan memperoleh geran €2.8 juta daripada Green Climate Fund bagi membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang dimuktamadkan awal tahun ini.

 

“Selepas banjir besar yang melanda Malaysia pada 2021, yang menyebabkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion, perkara ini telah menjadi keutamaan negara,” katanya dalam ucaptama di Forum Islamic Finance News (IFN) Oman 2025 di Muscat, Oman pada Isnin.

 

Mohammad Faiz berkata inisiatif Blue Carbon Oman, dengan 100 juta pokok bakau, dan Empangan Wadi Dayqah yang memastikan bekalan air serta kawalan banjir untuk Muscat dan Qurayyat, adalah contoh yang menginspirasikan.

 

Sementara itu, mengenai keterangkuman digital, Pengerusi SC berkata fintech Islam di Malaysia berkembang pesat, dengan industri bernilai AS$13 bilion pada 2024 dan dijangka hampir berganda menjelang 2028.

 

“Matlamat utama adalah agar alatan dan rumusan digital ini memberi ruang kepada keterangkuman, bukannya pengecualian – melalui akses secara pecahan untuk pelabur runcit serta untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

 

Berhubung inovasi Islam, Mohammad Faiz berkata kewangan Islam berkembang dengan menawarkan alternatif seperti sukuk menggantikan bon, dana Islam menggantikan dana konvensional dan takaful menggantikan insurans.

 

“Langkah seterusnya berpotensi termasuk menerajui sukuk berimpak yang memberi ganjaran berdasarkan hasil sosial, membangunkan dana sosial Islam bertoken yang mendemokrasikan akses kepada pulangan lebih tinggi serta kos transaksi yang lebih rendah, dan menggabungkan pendedahan berasaskan Maqasid yang mengaitkan pertumbuhan dengan keadilan, maruah dan penjagaan alam,” jelasnya.

 

Mohammad Faiz menambah, secara bersama Oman dan Malaysia serta komuniti global mempunyai peluang untuk membina ekosistem pasaran Islam yang bukan sahaja berkembang, malah pada masa sama mengangkat martabat masyarakat serta melindungi bumi dan generasi akan datang. - DagangNews.com