KUALA LUMPUR 23 Jan – Westports Holdings dijangka mencatat prestasi kewangan lebih baik daripada jangkaan apabila ruang kontena pelabuhan itu mencecah tahap penuh 100 peratus pada penghujung 2025, berbanding lebih 80 peratus pada suku ketiga tahun lalu, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata keadaan tersebut mencerminkan permintaan yang tinggi di pelabuhan dan memberi petanda positif kepada keuntungan suku keempat 2025.
CGSI berkata, mereka mengekalkan saranan “Tambah” untuk saham Westports sambil menaikkan harga sasaran DCF kepada RM6.42 berbanding RM6.18 sebelum ini, selari dengan penilaian hingga akhir tahun 2026.
Keputusan kewangan FY25F dijangka diumumkan pada 30 Januari ini dan menjadi tumpuan pelabur. Ruang kontena di Westports semakin padat kerana lebih banyak kapal menurunkan muatan ke pelabuhan berbanding mengangkut muatan keluar.
Untuk menguruskan ruang yang terhad, Westports terpaksa mengehadkan kontena eksport memasuki ruang simpanan kontena lebih awal daripada biasa, iaitu lima hingga tujuh hari sebelum kapal tiba.
Namun, kadar kepadatan hanya menurun kepada sekitar 90 peratus pada minggu pertama Januari 2026.
Perbandingan dengan suku ketiga tahun lalu menunjukkan ruang kontena hanya lebih 80 peratus digunakan dan ini membuktikan syarikat itu mendapat permintaan yang sangat tinggi.
CGSI berkata pendapatan daripada perkhidmatan nilai tambah, termasuk penyimpanan kontena, menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah pendapatan kontena pada 3Q25 dan 4Q24.
Firma tersebut meramalkan pendapatan VAS berpotensi meningkat pada suku keempat 2025, menyokong keuntungan jangka pendek.
Westports mengakui bahawa penggunaan ruang kontena yang tinggi boleh menjejaskan kecekapan pengendaliannya.
Bagaimanapun, peningkatan pendapatan ruang simpanan itu dapat membantu mengimbangi kesan ini dan menyumbang kepada keuntungan dalam tempoh pendek.
Menariknya, tingkah laku pelanggan dalam menyimpan kontena tidak berubah walaupun kadar simpanan dinaikkan beberapa kali ganda sejak 15 Julai 2025.
“Kadar simpanan kontena import dijangka meningkat 30 peratus menjelang Januari 2027, manakala kontena eksport dan kosong meningkat antara empat hingga 114 kali ganda.
“Ramalan bagi tahun kewangan 2026 menunjukkan jumlah kontena yang disimpan dijangka berkurang sebanyak 15 peratus. Namun, jika pelanggan terus menyimpan kontena seperti sekarang, Westports berpotensi memperoleh pendapatan lebih tinggi bagi tahun 2026 dan 2027,” kata CGSI.
Bagi menambah kapasiti yard, Westports akan menukar beberapa stesen penghantaran kontena menjadi kawasan yard baharu pada tempoh April hingga Jun 2026.
Selain itu, laluan kapal dari Asia ke Eropah dijangka kembali melalui Laut Merah pada separuh kedua 2026. Perubahan ini mungkin menyebabkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara dan meningkatkan jumlah kontena yang dikendalikan, sekali gus memberi keuntungan kepada Westports.
Jumlah kontena yang masuk dan keluar dari pelabuhan Malaysia tidak banyak berubah pada sembilan bulan pertama 2025 akibat kawalan import sisa elektronik dan logam. Aktiviti pelabuhan dijangka pulih pada 2026, sekali gus meningkatkan pendapatan Westports.
CGSI berkata faktor utama yang boleh menaikkan saham Westports ialah kemungkinan prestasi kewangan suku keempat 2025 dan tahun kewangan 2026 melebihi jangkaan.
Namun, faktor risiko pula termasuk kos projek yang tinggi atau kelewatan pelaksanaan projek pengembangan Westports 2, katanya. - DagangNews.com








