PUTRAJAYA 13 Mei - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu dilantik, Datuk Seri Abd Halim Aman telah berikrar untuk memperkukuh usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di negara ini.
Dalam ucapan sulungnya hari ini, Datuk Seri Abd Halim Aman merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui agensi anti-rasuah itu serta menyeru semua warga SPRM memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
“Mandat yang dipikul oleh pegawai bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan integriti, tetapi juga harus menjadi satu ikrar bahawa setiap pegawai SPRM berkewajipan untuk menjunjungnya.
“Cabaran, kekangan dan halangan dalam melaksanakan tugas adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, namun ia mesti ditangani dengan bijaksana serta mengikut undang-undang dan arahan yang telah ditetapkan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bersama pengarah kanan dan pengarah bahagian di ibu pejabat SPRM di sini.
Terdahulu, Abd Halim tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 8.20 pagi dan disambut oleh timbalan ketua pesuruhjaya Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (Operasi), Datuk Azmi Kamaruzaman (Pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (Pengurusan dan Profesionalisme) bersama pegawai kanan suruhanjaya berkenaan.
Beliau kemudian melakukan proses daftar masuk dengan mengimbas kad akses serta meletakkan tapak tangan pada tablet digital sebagai simbolik memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Abd Halim turut mengingatkan pegawai agar mengelakkan sebarang bentuk salah laku atau penindasan dalam melaksanakan tanggungjawab, selain sentiasa memperbaiki kelemahan sekiranya berlaku kesilapan, sama ada disengajakan atau tidak.
Beliau turut mengakui bahawa persepsi awam terhadap SPRM tidak boleh diabaikan dan menegaskan setiap pegawai perlu melaksanakan tugas dengan tekun bagi memelihara kredibiliti suruhanjaya itu.
Dalam aspek penguatkuasaan, beliau berkata siasatan dan pendakwaan perlu bergerak seiring bagi memastikan kes yang dibawa ke mahkamah dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.
Antara pembaharuan yang akan diperkenalkan, katanya, ialah memperkukuh penyelarasan antara bahagian siasatan dan pendakwaan SPRM bagi memudahkan tugas pegawai terlibat.
Bagi menangani kekurangan pegawai penyiasat, Abd Halim mencadangkan pengukuhan penempatan dalaman selain menekankan kepentingan pendidikan berterusan kepada orang awam mengenai pencegahan rasuah. - DagangNews.com








