Ketech Asia raih kontrak RM150 juta bekal peluru kepada ATM dan agensi keselamatan lain, Parlimen diberitahu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketech Asia raih kontrak RM150 juta bekal peluru kepada ATM dan agensi keselamatan lain, Parlimen diberitahu 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Julai - Kerajaan telah melantik pengeluar peluru tempatan, Ketech Asia Sdn Bhd bagi membekal peluru senjata laras kecil kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi keselamatan lain, menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

Katanya, pembekalan menerusi mekanisme Kontrak Pusat dan diselaraskan Kementerian Kewangan itu bagi menjamin sumber bekalan peluru yang lebih stabil dan berdaya tahan.

 

"Kontrak ini melibatkan pembekalan peluru senjata laras kecil iaitu peluru 9mm dan 5.56mm kepada agensi Kerajaan di seluruh negara dengan anggaran nilai kontrak RM150 juta bagi tempoh tiga tahun," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

 

 

 

 

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian bagi menyelesaikan masalah kekurangan peluru yang begitu ketara dalam ATM tidak seperti sebelum ini apabila ia dibekalkan oleh Syarikat Malaysian Explosive Ordnance (SMEO).

 

Khaled berkata, pada masa yang sama, Kementerian turut memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan melalui pengoperasian kilang pembuatan peluru oleh Ketech Asia di Lipis, Pahang.

 

Katanya, kilang berkenaan kini berkeupayaan menghasilkan peluru kaliber 9mm dan 5.56mm sehingga 120 juta butir setahun, serta merancang pengeluaran peluru kaliber 7.62mm dan 12.7mm. 

 

Tambahnya, bagi memastikan kualiti peluru yang dibekalkan memenuhi keperluan operasi ATM, Institut Penyelidikan Sains & Teknologi (STRIDE) akan melaksanakan khidmat kepakaran teknikal, ujian dan penilaian bagi memastikan peluru yang dihasilkan memenuhi spesifikasi serta standard yang ditetapkan oleh ATM. 

 

 

 

 

 

 

Katanya, Kementerian juga menggalakkan pembangunan komponen kritikal peluru oleh industri tempatan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi mengukuhkan rantaian bekalan domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar. - DagangNews.com