KUALA LUMPUR 23 Jan - Eurospan Holdings Berhad terus mencatatkan kerugian bersih dan kali ini sebanyak RM939,000 bagi suku kedua tahun kewangan 2026 yang berakhir 30 November 2025.
Keputusan ini berpunca daripada penurunan ketara hasil dalam segmen perabot, namun jumlah tersebut adalah lebih rendah berbanding kerugian bersih RM1.69 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu jelas kumpulan berkenaan, prestasi bagi 2QFY26 berikutan sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada segmen perdagangan bateri asid plumbum tertutup (SLA) dan automotif.
"Pendapatan suku semasa merekodkan sebanyak RM3.41 juta, merosot berbanding RM5.65 juta pada suku kedua tahun kewangan terdahulu," jelas Eurospan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Prestasi segmen perabot tambahnya, mencatatkan kerugian sebelum cukai kira-kira RM1.38 juta, manakala segmen perdagangan bateri menyumbang keuntungan sebelum cukai sebanyak RM0.64 juta.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 November 2025, ia juga mencatatkan kerugian bersih terkumpul sebanyak RM1.20 juta, berbanding keuntungan bersih RM21.66 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Bagaimanapun kata Eurospan, keuntungan besar tersebut bagi 6MFY25 adalah disebabkan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan hartanah dan pelupusan anak syarikat berjumlah RM27.84 juta.
"Dari segi kedudukan aliran tunai pula, setakat 30 November 2025, baki tunai dan setara tunai syarikat ini masih lagi kekal dengan kukuh pada paras RM30.58 juta, kata kumpulan tersebut.
Ia menjangkakan persekitaran perniagaan yang mencabar bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 ekoran ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik, dan kebimbangan berkaitan isu tarif.
Situasi berkenaan tambah Eurospan, boleh menjejaskan permintaan dalam segmen perabot terutama pasaran Amerika Syarikat (AS), dan bagi mengurangkan impak, kumpulan akan terus memantau situasi.
Ini termasuk perkembangan pasaran semasa dan mula menerokai perniagaan baharu dalam perdagangan bahan binaan melalui penubuhan anak syarikat, Euro Chain Supply (M) Sdn Bhd pada Oktober 2025.
"Di samping itu, kumpulan ini masih kekal optimis untuk mencapai pertumbuhan sederhana dalam segmen perdagangan bateri SLA dan automotif meskipun menghadapi persaingan sengit," jelasnya.
Justeru katanya, Lembaga Pengarah Eurospan memutuskan untuk tidak mengesyorkan sebarang pembayaran dividen bagi tempoh kewangan semasa kepada semua pemegang saham. - DagangNews.com








