Kertih Integrated Petrochemical Complex kekal strategik, walaupun semakin berusia - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kertih Integrated Petrochemical Complex kekal strategik, walaupun semakin berusia - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Nov - Walaupun sebahagian infrastrukturnya sudah berusia 40 tahun, Kertih Integrated Petrochemical Complex (KIPC) di Terengganu kekal sebagai aset strategik dan berdaya tahan dalam segmen hiliran di Malaysia, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Firma itu berkata kedudukan itu disokong oleh tahap integrasi yang kukuh, kebolehpercayaan operasi yang tinggi serta kelebihan struktur kos yang kompetitif.

 

“Kami pulang daripada lawatan tapak ke KIPC dengan keyakinan terhadap kebolehpercayaan operasinya, integrasi fizikal dan disiplin penyelenggaraan, terutamanya apabila kebanyakan asetnya berusia antara 25 hingga 40 tahun.

 

“Walaupun infrastrukturnya sudah lama, kompleks itu masih mampu mencatat kadar penggunaan melebihi 90 peratus merentasi segmen gas, penapisan dan petrokimia,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

CIMB Securities berkata rangkaian KIPC daripada gas huluan ke petrokimia dan logistik terus menyokong ketahanan margin serta penggunaan aset yang efisien di seluruh ekosistem.

 

Berdasarkan semakan saluran firma itu, bekalan bahan mentah berasaskan gas dalaman lazimnya memberikan kelebihan kos 10–15 peratus berbanding pesaing berasaskan nafta, manakala logistik bersepadu mengurangkan kos pengendalian dan pengangkutan dianggarkan sebanyak AS$20 hingga AS$30 satu tan.

 

“Kami menjangkakan KIPC akan terus mencatat margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang kukuh merentasi kitaran, dengan pemprosesan gas Petronas Gas Bhd berada pada 70–75 peratus, Kertih Terminals Sdn Bhd pada 60–70 peratus dan Petronas Chemical Group Bhd (PetChem) pada 25–35 peratus.

 

“Ini mengatasi prestasi pesaing serantau yang tidak bersepadu yang secara purata berada pada pertengahan belasan hingga awal 20 peratus,” katanya.

 

Walaupun integrasi KIPC memberikan kelebihan daya saing yang ketara, firma itu mengekalkan saranan “HOLD” ke atas PetChem berikutan lebihan bekalan petrokimia global yang berterusan yang mengehadkan potensi peningkatan harga jualan purata serta mengekang penarafan semula pendapatan.

 

Ia turut mengulangi saranan “BELI" beli ke atas Dialog, disokong oleh pangkalan pendapatan berulang yang berkembang daripada terminal penyimpanan di Kertih, Tanjung Langsat dan Pengerang.

 

CIMB Securities mengekalkan pendirian “NEUTRAL” terhadap sektor minyak dan gas, dengan MISC Bhd dan Dialog dinamakan sebagai pilihan utama. - DagangNews.com