Kerjaya Prospek menang kontrak pembinaan 2 blok apartmen di Damansara Damai bernilai RM201.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek menang kontrak pembinaan 2 blok apartmen di Damansara Damai bernilai RM201.2 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JanKerjaya Prospek Group Berhad memenangi kontrak terbaharu daripada Greencove Sdn Bhd bagi pelaksanaan kerja pembinaan dengan nilai kontrak berjumlah RM201.25 juta.

 

Surat penganugerahan tender itu diterima anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd dengan tapak projek di Lot 87285, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Mukim Sungai Buloh, Selangor.

 

Kontrak itu melibatkan pembinaan dua blok apartmen 39 tingkat dengan 390 unit setiap satu, serta ruang rekreasi, lima tingkat parkir, dan satu setengah tingkat ruang komersial di aras bawah.

 

"Kerja-kerja pembinaan hartanah berkenaan dijangka bermula pada 1 April 2026 dan perlu disiapkan dalam tempoh 40 bulan," kata Kerjaya Prospek dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurutnya, kontrak ini dilaksanakan dalam urusan biasa syarikat dan pada terma komersial, yang dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan bagi empat tahun akan datang.

 

Tender itu namun tergolong dalam Transaksi Berulang Pihak Berkaitan (RRPT), kerana ada beberapa pengarah dan pemegang saham utama kumpulan yang memiliki kepentingan langsung dan tidak langsung.

 

Bagaimanapun, Kerjaya Prospek berkata, kontrak ini akan meningkatkan buku tempahan sedia ada kumpulan dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham.

 

"Secara keseluruhan, tender terbaharu diperoleh ini akan menjana hasil bagi tahun kewangan 2026 hingga 2029 tanpa menjejaskan sebarangmodal saham syarikat," jelasnya. - DagangNews.com